
Inisiatif yang dianjurkan oleh Seksyen Doktor Pelatih dan Pegawai Perubatan (Schomos), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) itu menggalakkan individu serta syarikat mengenakan pakaian hitam bermula hari ini sehingga 12 Julai.
Pada hari terakhir kempen orang ramai diminta memakai pakaian hitam ke tempat kerja.
Bercakap kepada FMT, seorang doktor kontrak dari Lembah Klang yang hanya ingin dikenali sebagai Aliya, menyifatkan situasi semasa itu sebagai ‘perhambaan zaman moden’.
Beliau mengeluh tentang isu kenaikan gaji, elaun dan cuti tanpa gaji yang hanya diberikan kepada mereka bertaraf tetap. Katanya, doktor kontrak juga tidak diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana untuk pengkhususan.
“Sampai bila kami harus kekal sebagai pegawai perubatan (MO)? Jika kita ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana, kita perlu menanggung kosnya sendiri. Kalau begitu keadaannya, kenapa saya perlu berkhidmat dengan kerajaan?” kata Aliya.
Katanya, beliau dan rakan sekerja akan memakai pakaian doktor berwarna hitam dan menukar gambar mereka kepada warna hitam sebagai tanda perpaduan.
“Semua doktor harus menerima bayaran setimpal dengan kerja keras yang dilakukan selain tidak cukup tidur dan kurang masa bersama keluarga.
“Kami boleh pergi pada bila-bila masa dan menyertai sektor swasta tetapi kami fikir mengenai kewajipan kepada negara. Bagaimanapun ramai doktor muda akan pergi (ke sektor swasta),” katanya.
Dr K, seorang pegawai MO tetap berkata, beliau merancang untuk menyertai kempen Kod Hitam bagi mendesak perubahan dalam sistem penjagaan kesihatan.
Beliau tahu beberapa negara lain turut melaksanakan sistem kontrak tetapi Dr K memberitahu FMT, isunya ialah bagaimana kerajaan menangani perkara ini.
“Anda boleh menjadi doktor kontrak paling bijak di sini tetapi tidak boleh memohon untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana kerana program itu tidak dibuka kepada anda,” katanya dan menambah terdapat keperluan lebih banyak pakar khususnya di kawasan pedalaman.
Katanya, ia juga amat penting untuk menggesa kriteria yang telus dalam pemilihan ke jawatan tetap.
“Mereka hanya ingin tahu apa yang perlu dimiliki bagi membolehkan dilantik ke jawatan doktor tetap dan melakukan pengkhususan. Ia permintaan yang mudah tetapi kerajaan tidak mendedahkan apa-apa, jadi mereka berhenti dan menyertai sektor swasta,” katanya.
Kod Hitam tarik perhatian ramai

Antara mereka yang mengikuti pergerakan itu secara maya ialah pertubuhan yang dipimpin pelajar, Medik Antarabangsa Malaysia (MMI), yang menukar lambangnya kepada hitam putih di Facebook, Twitter dan Instagram.
Ia menggesa Kementerian Kesihatan menangani isu pokok sekitar sistem kontrak, iaitu isu yang menyebabkan masalah keletihan dan hartal yang dijadualkan pada 26 Julai.
“Jika keadaan ini berterusan, kita akan melihat kemerosotan sistem kesihatan yang sudah pun meruntuh.
“Mahu atau tidak, kami graduan pelajar perubatan dan doktor muda terpaksa membelakangkan sistem yang mengecewakan, menuju tempat yang lebih baik di mana kesejahteraan kami jadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan.
Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) juga menukar lambangnya kepada hitam putih bersama hantaran di Facebook, iaitu “MPS bersama petugas kesihatan kontrak” dan tanda pagar #SolidarityforContractPharmacists, #saveMYcontractHCW, #CodeBlackMY, dan #BlackMondayMY.
Seorang pakar pediatrik yang memuat naik sekeping gambar rakan setugas dalam warna hitam putih di Instagram, menggesa rakan, ahli keluarga dan kenalan supaya bangkit menunjukkan solidariti untuk doktor kontrak.
Doktor pakar kanak-kanak itu berkata, doktor muda tidak mempunyai pilihan lain untuk meningkatkan peluang kerjaya dan berdepan kemungkinan hilang pekerjaan selepas tamat kontrak.
“Lama-kelamaan, sistem penjagaan kesihatan akan terjejas dan kita akan melihat bilangan pakar untuk menjaga dan merawat mereka berkurangan,” katanya.
Dengan memuat naik gambarnya mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) berwarna hitam putih, seorang lagi petugas barisan depan berkata, ramai doktor kontrak bekerja di pusat kuarantin, pemeriksaan dan pemvaksinan sepanjang pandemik.
“Dalam tempoh jangka panjang, meneruskan polisi ini akan mengundang kemerosotan dan akhirnya menyebabkan masalah kekurangan doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam,” tulisnya.