Polis tahan 3 lelaki, rampas 47,600 pil ekstasi bernilai RM856,800

Polis tahan 3 lelaki, rampas 47,600 pil ekstasi bernilai RM856,800

Dua warga Indonesia bertindak sebagai penghantar dadah manakala lelaki tempatan menjadi tekong laut, dipercayai beroperasi sejak Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor Khaw Kok Chin berkata, tiga suspek terbabit direman sejak Isnin sehingga esok. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga Indonesia serta merampas 47,600 biji pil ekstasi bernilai RM856,800 dalam satu operasi di Pengerang, dekat Kota Tinggi, Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi pada 11 pagi itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun dan dua warganegara Indonesia berusia 51 dan 60 tahun di sebuah rumah tumpangan di Sungai Rengit dekat Pengerang.

“Kegiatan sindiket ini dipercayai mula dilakukan sejak Februari lalu dan hasil siasatan mendapati pil ekstasi ini dibawa dari Johor Bahru oleh dua suspek warga Indonesia yang bertindak sebagai penghantar dadah.

“Dadah itu kemudiannya dibawa ke rumah tumpangan di Pengerang yang dihuni lelaki tempatan yang merupakan tekong laut sebagai transit sebelum dihantar ke negara jiran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain rampasan dadah, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Hilux yang dinaiki warga Indonesia itu dengan nilai sitaan RM40,000 dan wang tunai RM1,300 menjadikan nilai rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM898,100.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati lelaki warga tempatan itu positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Dua warga Indonesia yang berstatus penduduk tetap itu pula negatif dan tidak mempunyai rekod jenayah.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka direman lima hari bermula Isnin lalu sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.