
Azrul Mohd Khalib, ketua eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, dipanggil ke Bukit Aman berhubung ciapannya tahun lalu dan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Pada 12 Nov lalu, Mohamad Zain A Hamid, pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang berkata, polis akan menggunakan pendaftaran MySejahtera untuk mengesan 400 penduduk Medan 88 di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) ketika itu.
Dalam ciapan keesokannya, Azrul didakwa menyifatkan penggunaan data MySejahtera untuk tujuan itu sebagai penyalahgunaan dan menggalakkan rakyat melindungi data peribadi mereka.
Dalam kenyataan selepas disoal siasat polis hari ini, Azrul mempertahankan ciapannya dan komitmen berhubung isu perlindungan data dalam aplikasi MySejahtera.
“Tahun lalu, kerajaan memberikan komitmen untuk meyakinkan orang ramai bahawa kebimbangan berhubung privasi, perlindungan data peribadi serta keselamatan mereka tidak berasas.
“Ia disebut secara khusus bahawa data yang dikumpul oleh MySejahtera akan dianggap data perubatan sulit di bawah Akta Perubatan 1971.”
Azrul berkata, rakyat tidak sepatutnya takut untuk memastikan pihak berkuasa berwaspada dan mengekalkan standard serta integriti tertinggi
“Kami berpegang teguh pada komitmen kami untuk menyuarakan kebimbangan berhubung penggunaan, perlindungan dan keselamatan data peribadi serta perubatan, khasnya ketika kecemasan kesihatan awam Covid-19.”
Walaupun pembangunan aplikasi mudah alih itu berniat baik katanya, ia tidak kebal daripada kemungkinan digodam dan berpotensi disalahgunakan penyalahgunaan seperti dilihat dalam aplikasi serupa di peringkat antarabangsa.