Pahang benarkan solat Jumaat dengan 100 jemaah

Pahang benarkan solat Jumaat dengan 100 jemaah

Berdasarkan SOP baharu itu, seramai 100 jemaah dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid daerah dan masjid negeri itu.

PETALING JAYA:
Pahang akan membenarkan solat Jumaat dan fardu di semua masjid dan surau berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi aktiviti ibadat, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Zulkifle Ali.

Beliau berkata, berdasarkan SOP baharu itu seramai 100 jemaah dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid negeri dan masjid daerah ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) serta perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Bagi masjid kariah pula hanya 50 orang manakala surau kebenaran Jumaat pula 12 orang sahaja.

“Bagi solat fardu hanya 12 orang dibenarkan di masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Zulkifle berkata, perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah.

Katanya, bagi kawasan PKPD, solat Jumaat dibenarkan dengan 12 orang dan digalakkan menunaikan solat Zohor sebagai langkah berhati-hati (ihtiati) keluar daripada khilaf.

Beliau berkata, bukan warganegara Malaysia, bukan ahli kariah, individu bergejala, imam dan khatib dari luar Pahang tidak dibenarkan.

Selain itu jemaah bawah umur 12 tahun dan warga emas berusia 75 tahun ke atas turut tidak dibenarkan.

Katanya, pengurusan masjid dan surau boleh mengemukakan permohonan penambahan jumlah jemaah untuk solat Jumaat dan fardu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.