Kula tolak sidang Parlimen hibrid

Kula tolak sidang Parlimen hibrid

Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata peranan Parlimen sekadar 'rubber stamp' dan menafikan proses pengundian telus.

PETALING JAYA:
Cadangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid adalah perbuatan ‘nakal’ dan percubaan untuk “melupuskan hak Ahli Parlimen yang dipilih”, kata bekas menteri sumber manusia, M Kulasegaran.

Kula yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, persidangan Parlimen secara hibrid akan menafikan proses pengundian terutama membabitkan kelulusan undang-undang.

Dalam kenyataannya beliau turut mempersoalkan mengapa cadangan persidangan secara hibrid muncul terlalu lewat, walaupun cadangan itu boleh dikemukakan pada Januari dalam Pengisytiharaan Darurat.

“Mengapa cadangan ‘murni’ ini tidak diketengahkan kepada umum dan dibincangkan oleh Ahli Parlimen dan pemegang taruh lain?

“Rang undang-undang hanya menjadi undang-undang untuk dikuatkuasakan sekiranya diluluskan secara majoriti di Parlimen. Menggunakan sistem persidangan secara hibrid menyebabkan fungsi pengundian diketepikan sedangkan Parlimen menjalankan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan yang memerintah,” katanya di sini, hari ini.

Kula berkata, tidak ada sebab munasabah untuk memanggil sidang khas Parlimen bagi melaksanakan persidangan hibrid.

“Kami tidak akan menerima cadangan seperti itu sehingga menjadikan Parlimen sekadar ‘rubber stamp’ untuk meluluskan undang-undang,” katanya.

Minggu lalu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim, mencadangkan satu sidang khas Parlimen dipanggil pada Ogos untuk menggubal Perintah Tetap bagi membenarkan persidangan hibrid.

Walaupun kebanyakan Ahli Parlimen mengalu-alukan pengumuman persidangan secara hibrid, bekas perdana menteri, Najib Razak pula mempersoalkan keperluan cadangan itu selepas mengambil kira enam negeri sudah menyatakan persetujuan untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Semalam, dalam kenyataan bersama Azhar dan Rais memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya sidang Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.