Keputusan beri vaksin Pfizer kepada remaja 12 tahun ke atas diumum esok, kata Khairy

Keputusan beri vaksin Pfizer kepada remaja 12 tahun ke atas diumum esok, kata Khairy

Keputusan itu dibuat semalam bersama menteri kesihatan susulan laporan risiko berkaitan radang jantung yang jarang berlaku selepas penggunaan vaksin itu.

Khairy berkata keputusan pemberian vaksin Pfizer kepada remaja 12 tahun ke atas sudah dimuktamad dan akan diumumkan esok.
PETALING JAYA:
Keputusan sama ada mahu meneruskan pemberian vaksin Pfizer kepada remaja 12 tahun ke atas atau sebaliknya telah dimuktamad dan akan diumumkan esok.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, kementeriannya telah membuat keputusan itu semalam bersama Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

“Kita setuju untuk keluar kenyataan bersama esok berkenaan pemberian vaksin kepada remaja 12 tahun,” katanya ketika ditanya status pemberian vaksin Pfizer kepada golongan remaja susulan laporan risiko berkaitan radang jantung yang jarang berlaku selepas penggunaannya.

Mengulas tempoh masa pemberian dos kedua vaksin AstraZeneca, katanya, perkara itu akan diumumkan petang ini selepas negara menerima ketibaan vaksin jenis itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Untuk Pfizer kekal tiga minggu bagi dos kedua, untuk AstraZeneca saya akan umum petang nanti di KLIA, kita nak tengok vaksin sampai dulu baru kita yakin nak umum,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairy turut memaklumkan, setakat ini sebanyak 27 Pusat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri telah diluluskan membabitkan tiga sektor iaitu pembinaan, pengangkutan dan pembuatan sepanjang Julai ini.

“Ia melibatkan 373,327 pekerja membabitkan tiga sektor ini akan mula beroperasi sepanjang Julai ini dan akan tambah mengikut keperluan,” katanya.

Khairy turut mengumumkan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 (CITF) pagi tadi turut bersetuju memasukan sektor perladangan dan komoditi dalam sektor industri diberi vaksin kepada pekerja menjadikan empat sektor keseluruhannya.

“Kita telah luluskan pagi tadi dalam mesyurat CITF iaitu sektor perladangan dan komoditi, dengan empat-empat sektor ini kita percaya sebahagian besar daripada sektor ekonomi beroperasi sewaktu PKP akan diberi perlindungan vaksin. Kita juga sedang memperhalusi bagi sektor lain seperti peruncitan dan pelancongan,” katanya.

Selain itu, Khairy berkata setakat ini tiada keperluan untuk memberi vaksin Cansino kepada sektor industri, sebaliknya akan diberi keutamaan kepada mereka yang berada di kawasan pedalaman kerana vaksin itu hanya perlu disuntik sekali sahaja.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas meninjau pelaksanaan program vaksinasi industri pembinaan di Pusat Konvensyen CIDB yang bermula hari ini.

Turut hadir Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof.

Menerusi program itu seramai 500 pekerja sektor pembinaan akan menerima vaksin setiap hari bagi tiga hari pertama dan akan ditingkatkan kepada 1,300 sehari untuk hari seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.