
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, 4IR juga dilihat memberi cabaran kepada tenaga kerja disebabkan proses automasi, penggunaan robot dan kecerdasan buatan (AI).
“Bakat muda yang dilengkapi pengetahuan dan keupayaan adalah penting bagi meningkatkan daya saing perniagaan terutama dalam landskap ekonomi global yang sangat kompetitif serta dinamik.
“Usaha ini terbukti menerusi kerjasama Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC) dan Aerodyne Group melibatkan latihan kepada 2,000 belia untuk merangkumi industri dron dan data termaju,” katanya.
Beliau berkata demikian di pentas pelancaran maya bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, dalam program pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian ke-4 (4IR) Negara, hari ini.
Mustapa ketika mengulas lanjut berkata, Dasar Revolusi Perindustrian ke-4 (4IR) Negara juga dirangka agar menjadi panduan kepada kementerian dan agensi kerajaan dalam menjayakan program berkaitan 4IR.
“Empat teras berkenaan bertujuan melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR selain membentuk negara agar mempunyai saling hubungan melalui pembangunan infrastruktur digital.
“Selain itu ia menyediakan peraturan sesuai dengan keperluan masa depan agar disesuaikan bersama perubahan teknologi dan mempercepat inovasi dan penerima gunaan teknologi 4IR,” katanya.
Katanya, dasar berkenaan juga selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030) demi mencapai kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi inklusif, seimbang dan mampan.
Sementara itu Khairy berkata, Dasar 4IR Negara saling melengkapi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021-2030) yang antara lain membawa agenda pemerkasaan sains, teknologi dan inovasi yang disepadukan dengan pengukuhan ekonomi di bawah konsep Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).
Katanya, dalam memastikan pembangunan teknologi berfungsi sebagai pemboleh daya transformasi 4IR, MOSTI juga sedang membangunkan beberapa dasar dan pelan hala tuju teknologi.
Ia termasuk “roadmap” pembangunan teknologi elektrikal dan elektronik, vaksin, blockchain, ekonomi hidrogen, teknologi nano, kecerdasan buatan, robotik, bahan termaju serta R&D, pengkomersialan, inovasi dan ekonomi.