
Dalam satu kenyataan bersama, Azhar dan Rais turut memaklumkan cadangan kepada perdana menteri agar satu persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos sudah dibuat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan majlis menghadap Azhar dan Rais bersama Timbalan Yang di-Pertua kedua-dua Dewan ke atas Yang di-Pertuan Agong, semalam.
“Pada majlis tersebut, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos,” menurut kenyataan bersama itu.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat serta Dewan Negara menjunjung titah Agong dan menyatakan komitmen serta kesediaan penuh Parlimen untuk mengadakan persidangan seperti yang dititahkan Agong.
“Titah Agong pada majlis menghadap tersebut juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri dan adalah dicadangkan kepada Perdana Menteri agar satu persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, FMT melaporkan Rais Yatim akan berbincang dan cuba meyakinkan perdana menteri untuk mengadakan sidang khas Parlimen sebelum 1 Ogos, susulan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong semalam yang menyuarakan hasrat supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengutus surat kepada Pejabat Perdana Menteri dan Muhyiddin Yassin mempunyai dua pilihan, sama ada menghantar sahaja surat memaklumkan tarikh persidangan khas atau bermesyuarat untuk menentukannya dengan pihak berkaitan.
Katanya, sidang khas Parlimen disaran diadakan lima hari secara fizikal, sementara persidangan Parlimen akan berlangsung pada hujung Ogos untuk memberi notis 28 hari kepada semua Ahli Parlimen.