Kementerian bergantung pada data terhad, lapuk KVDT2 ‘mengejutkan’, kata pakar

Kementerian bergantung pada data terhad, lapuk KVDT2 ‘mengejutkan’, kata pakar

Rosli Azad Khan berkata, Kementerian Pengangkutan tidak sepatutnya bergantung kepada data pihak ketiga untuk projek berkepentingan nasional.

PETALING JAYA:
Seorang pakar pengangkutan menyifatkan kebergantungan Kementerian Pengangkutan pada data terhad dan ketinggalan zaman dalam pembatalan projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) “mengejutkan”.

Rosli Azad Khan, perunding pengangkutan veteran, turut mempersoalkan bagaimana kementerian itu, dengan pengalaman luas dalam mengendalikan projek besar, membuat kesimpulan projek KVDT2 terlalu mahal.

Beliau mengulas laporan FMT semalam bahawa keputusan kerajaan membatalkan projek itu dibuat berdasarkan data berusia 11 tahun.

Ini didedahkan dalam afidavit yang difailkan oleh Opus Consultants bahawa laporannya kepada kerajaan pada 2018 dipetik oleh Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong pada Ogos lalu ketika mengumumkan pembatalan kontrak itu.

Wee dilaporkan berkata, projek itu melebihi kos sebanyak lebih RM1 bilion dan kerajaan memutuskan untuk membuka semula proses bidaan. Keputusan itu mendorong kontraktor projek, Dhaya Maju-LTAT mengheret Wee dan kerajaan persekutuan ke mahkamah.

Menurut afidavit itu, laporan Opus diserahkan dengan beberapa penafian, termasuk ia tidak boleh diandalkan oleh pihak ketiga, berdasarkan maklumat terhad dan bukan pengganti kepada siasatan bebas.

Rosli Azad Khan.

Rosli berkata, kementerian itu tidak perlu bergantung pada data pihak ketiga untuk projek berkepentingan nasional seperti KVDT2, khasnya apabila ia mempunyai pakar kerajaan dengan semua data relevan.

“Kereta api selama ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan. Malah, terdapat bahagian kereta api dan bahagian penyelidikan di bawah kementerian itu.

“Sudah tentu mereka perlu mengumpul sejumlah besar data kereta api selama bertahun-tahun, yang mereka boleh dapatkan dan gunakan dengan mudah.”

Bagaimanapun katanya, isu KVDT2 menunjukkan kementerian itu kelihatan tidak dapat menangani situasi berkenaan.

“Saya fikir ini teruk, mungkin Wee perlu letak jawatan berhubung perkara ini.”

Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd, Abdul Razak Md Hassan berkata, Wee perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahkan memberikan kontrak sekali lagi kepada Dhaya Maju-LTAT selepas kajian mendalam.

“Kerajaan patut mempertimbangkan semula (keputusannya membatalkan) kontrak itu. Projek itu tidak patut ditangguhkan demi kepentingan keselamatan pekerja dan pengguna.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.