
PETALING JAYA: Seorang selebriti wanita ditahan polis selepas didapati positif dadah jenis Methamphetamine dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Chalet Nilai, Negeri Sembilan, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Mohd Fazley Ab Rahman, berkata pihaknya menahan suspek berusia 34 tahun selepas menerima maklumat daripada orang awam.
“Suspek dibawa ke pejabat Narkotik IPD Nilai bagi tujuan ujian saringan awal. Hasil ujian mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya menurut laporan Bernama.
Difahamkan, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.