Khazanah lantik pengarah urusan baharu

Khazanah lantik pengarah urusan baharu

Berkuat kuasa 16 Julai, Amirul Feisal Wan Zahir dilantik menggantikan Shahril Ridza Ridzuan yang akan melepaskan jawatan tersebut selepas tamat kontrak.

Amirul Feisal Wan Zahir adalah ketua pegawai kewangan Kumpulan Malayan Banking Bhd dan sebelum itu menjawat jawatan pengarah urusan Kumpulan Chemical Company of Malaysia Bhd. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Khazanah Nasional Bhd melantik Amirul Feisal Wan Zahir sebagai pengarah urusannya yang baharu berkuat kuasa 16 Julai.

Dalam kenyataan hari ini, Khazanah berkata, Amirul bakal menggantikan Shahril Ridza Ridzuan yang akan melepaskan jawatan tersebut apabila kontrak beliau tamat kelak bagi menumpukan perhatian kepada usaha peribadi.

“Lembaga Pengarah Khazanah mengalu-alukan pelantikan Amirul dan yakin berdasarkan kepakaran dan pengalaman beliau, Khazanah akan terus maju dalam usaha menyampaikan mandat yang diberikan.

“Lembaga Pengarah turut menyampaikan penghargaan kepada Shahril atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang berkhidmat sebagai pengarah urusan, terutamanya kejayaan beliau mengetuai pelaksanaan strategi yang telah menyaksikan Khazanah berada dalam kedudukan kukuh serta mampu mengharungi persekitaran yang serba mencabar akibat penularan (wabak) Covid-19,” katanya.

Amirul adalah ketua pegawai kewangan Kumpulan Malayan Banking Bhd dan sebelum itu menjawat jawatan pengarah urusan Kumpulan Chemical Company of Malaysia Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.