Bank tak kenakan faedah terkompaun, caj lewat bayar moratorium, kata menteri

Bank tak kenakan faedah terkompaun, caj lewat bayar moratorium, kata menteri

Moratorium enam bulan diberikan kepada semua peminjam individu melibatkan semua peringkat pendapatan.

Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, orang ramai boleh membuat laporan jika pihak bank menaikkan faedah terkompaun dan caj penalti ke atas pinjaman.
PUTRAJAYA:
Bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun dan caj penalti lewat bayaran bagi moratorium enam bulan bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Ketika menegaskannya, beliau berkata kerajaan membangkitkan perkara itu dan telah mendapat persetujuan bank-bank dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

“Buat laporan serta aduan sekiranya pihak bank bertindak menaikkan faedah terkompaun serta caj penalti (ke atas moratorium itu),” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan moratorium enam bulan yang diberikan kepada semua peminjam individu melibatkan semua peringkat pendapatan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul turut mengingatkan peminjam yang berhasrat memohon moratorium agar menghubungi bank masing-masing berhubung kaedah bayaran balik berkaitan.

“Setiap bank mempunyai skim berbeza dan anda (peminjam) perlu membincangkan perkara ini dengan bank masing-masing,” katanya.

Beliau juga menyifatkan moratorium di bawah PEMULIH dapat membantu kalangan peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menguruskan aliran mudah tunai ketika tempoh mencabar pada masa ini.

“Kita telah nasihatkan bank-bank untuk terus memberi kelulusan automatik kepada mereka yang terkesan, termasuk daripada kalangan kategori B40, M40 dan T20,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul juga optimis bahawa sistem kewangan domestik mampu menangani impak penangguhan bayaran balik pinjaman tersebut.

“Berdasarkan perbincangan saya dengan (wakil) bank-bank, mereka juga turut terkesan…namun saya menganggapnya (moratorium) adalah langkah yang diperlukan bagi menyokong keperluan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.