Setiausaha Agungnya Kamarul Baharin Mansor berkata, jika situasi itu tidak ditangani dengan pelan pemulihan simpanan hari tua pencarum, ia dikhuatiri akan menimbulkan “krisis sosial pekerja pencen”.
Beliau berkata, kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap pengeluaran simpanan hari tua pekerja dengan menambah kembali atau menggantikan pengeluaran yang dibuat dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Data ini amat merisaukan dan mendesak KWSP mencari kaedah bagi menambah simpanan pencarum.
“Kesan jangka panjang kepada pencarum adalah selepas pencen dan akan menimbulkan krisis sosial pekerja pencen,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi pakej PEMULIH yang dibentangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, kerajaan memperkenalkan i-Citra yang membolehkan pencarum mengeluarkan simpanan mereka sebanyak RM5,000 dengan pengeluaran RM1,000 sebulan selama lima bulan.
Mengenai moratorium automatik, Kamarul berkata, perubahan perjanjian dalam tempoh moratorium yang akan ditandatangani oleh peminjam tidak boleh mengandungi klausa yang merugikan peminjam.
Moratorium automatik adalah kaedah untuk membantu peminjam, bukannya untuk bank mencari keuntungan daripada langkah itu.
“Bank tidak boleh mengambil kesempatan atas kesempitan peminjam yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini. Bank perlu menjalankan tanggungjawab sosial kepada peminjam dalam keadaan sukar ini,” katanya.
Perdana menteri memaklumkan permohonan bagi moratorium automatik dibuka pada 7 Julai dengan peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat pinjaman yang berkaitan.