Wanita jadi individu pertama dituduh berkait aktiviti penstrukturan transaksi

Wanita jadi individu pertama dituduh berkait aktiviti penstrukturan transaksi

Ahli perniagaan berusia 50-an itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok, kata sumber SPRM.

Menurut sumber, wanita itu memasukkan wang melebihi RM230,000 ke akaun milik perniagaannya melalui beberapa transaksi.
PUTRAJAYA:
Seorang ahli perniagaan wanita bakal menjadi individu pertama didakwa di mahkamah berhubung aktiviti penstrukturan transaksi melibatkan wang berjumlah lebih RM230,000.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, wanita berusia 50-an itu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi esok.

Katanya, suspek ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini dan dibebaskan dengan jaminan.

“Suspek disyaki cuba mengelak dikesan oleh pihak bank, yang perlu melaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan transaksi kemasukan atau pengeluaran wang berjumlah melebihi RM50,000 dalam sehari yang dilakukan oleh pelanggan.

“Jumlah keseluruhan wang melebihi RM230,000 telah dimasukkan ke dalam akaun milik perniagaan suspek melalui beberapa pecahan transaksi.

“Pihak bank yang terlibat dalam menguruskan transaksi itu tidak membuat Laporan Transaksi Tunai (Cash Threshold Report-CTR) kepada BNM kerana transaksi dilakukan secara berganda dalam hari sama adalah dibenarkan,” katanya ketika dihubungi.

CTR adalah mekanisme bagi BNM memantau apa-apa transaksi tunai sama ada deposit atau pengeluaran yang dilakukan oleh mana-mana orang di bank.

“Penstrukturan transaksi atau ‘smurfing’ adalah teknik yang digunakan oleh penjenayah kewangan untuk memasukkan atau mengeluarkan wang tunai hasil daripada kegiatan haram di mana-mana institusi kewangan.

“Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan bawah Seksyen 4A(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Untuk rekod, pada Disember 2018 BNM telah meminda dan menetapkan kadar amaun CTR daripada RM50,000 kepada RM25,000 dalam satu hari, berkuat kuasa pada 1 Jan 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.