Selepas 5 tahun, ‘Mamat’ akhirnya ditangkap

Selepas 5 tahun, ‘Mamat’ akhirnya ditangkap

PERHILITAN Terengganu jerat buaya tembaga berukuran 3.86m huni lombong tinggal.

Buaya tembaga itu dikatakan tersesat dan berada di lombong berkenaan sejak 2016 malah tidak agresif.
KUALA NERUS:
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu akhirnya berjaya menangkap seekor buaya tembaga yang digelar “Mamat” oleh penduduk tempatan.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Abdul Malek Mohd Yusuf, berkata buaya itu ditangkap di lombong tinggal, di sini, kira-kira 5.45 petang tadi.

Katanya, reptilia berukuran 3.86m itu ditangkap melalui kaedah menjerat yang dijalankan oleh 17 anggotanya.

“Pada malam ini ‘Mamat’ akan dibawa ke Paya Indah Wetland (PIW) di Dengkil, Selangor. Sejak pertengahan Mei lepas PERHILITAN telah memasang tiga unit perangkap buaya di lokasi berkenaan tetapi tidak berjaya,” katanya dalam kenyataan.

Kisah “Mamat” yang dikatakan tersesat di lombong tinggal itu bukan perkara baharu bagi penduduk Terengganu kerana ia mula tular pada 2016 apabila penduduk sering memberi reptilia itu makanan.

Reptilia itu hanya berukuran 1m ketika ditemukan penduduk dan ia tidak bertindak agresif menyebabkan ramai yang datang ke kawasan lombong untuk melihatnya dengan lebih dekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.