Satu lagi skim pengeluaran KWSP mungkin tak berguna, kata ahli ekonomi

Satu lagi skim pengeluaran KWSP mungkin tak berguna, kata ahli ekonomi

Ini kerana, kata Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, ramai orang, khasnya golongan termiskin sudah kehabisan simpanan KWSP untuk dikeluarkan.

PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi berkata, satu lagi skim pengeluaran dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan berguna buat golongan miskin dan berpendapatan sederhana yang mungkin kehabisan wang dalam akaun mereka.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, ramai orang, khasnya golongan termiskin, sudah kehabisan simpanan KWSP untuk dikeluarkan.

Beliau memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah Azizan baru-baru ini mengenai 6.3 juta atau 42% daripada keseluruhan 15 juta pencarum kini mempunyai kurang RM10,000 dalam Akaun 1, manakala 9.3 juta orang mempunyai kurang RM10,000 dalam Akaun 2.

Dalam wawancara minggu lalu, Amir dipetik sebagai berkata, ramai pencarum KWSP mengurangkan jumlah caruman mereka sehingga ke tahap yang tidak dapat menjamin persaraan mereka.

Geoffrey Williams

Williams berkata, terbukti ramai yang sudah menggunakan dana kecemasan mereka, dengan memetik statistik yang diberikan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz tahun lalu.

Semalam, Tengku Zafrul memberi bayangan kerajaan mungkin memperkenalkan semula pengeluaran KWSP dan moratorium pinjaman automatik memandangkan perintah kawalan pergerakan penuh (PKP) di seluruh negara dilanjutkan lagi sehingga jumlah jangkitan harian di bawah 4,000 kes.

Williams berkata, ramai yang membayar pinjaman mereka selepas moratorium terakhir tamat.

“Malah ramai yang menggunakan simpanan KWSP mereka untuk membayar pinjaman kerana bimbang gagal membayarnya.

“Saya tidak pasti moratorium pinjaman dapat membantu, ia hanya menangguhkan bayaran ke masa depan dan mengumpul faedah yang menjadikan pinjaman lebih tinggi.”

Katanya, terdapat juga kemungkinan lonjakan dalam pinjaman tidak berbayar kerana lebih banyak syarikat dijangka ditutup akibat PKP penuh yang berulang.

Sebaliknya, Williams mencadangkan pemindahan wang tunai tidak bersyarat kepada keluarga B40 dan M40 untuk dibelanjakan mengikut pilihan mereka bagi mewujudkan permintaan buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergelut supaya mereka boleh melangsaikan hutang dan menambah simpanan mereka.

Katanya, geran sokongan tidak bersyarat perlu disediakan kepada PKS untuk digunakan mengikut pilihan sendiri berdasarkan keperluan perniagaan mereka. “Biar pemilik perniagaan tentukan sendiri.”

Beliau berkata, setiap usaha perlu dilakukan untuk menamatkan ‘lockdown’ kerana ia nampaknya gagal.

“Pelbagai strategi vaksin, uji-kesan-rawat dan ubat pencegahan perlu digunakan. Kini naratif kerajaan sudah berubah, jadi kita tidak boleh mengharapkan imuniti kelompok.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.