‘Rockers’ Myanmar pakar palsu dokumen diberkas

‘Rockers’ Myanmar pakar palsu dokumen diberkas

Suspek yang berkahwin dengan wanita tempatan itu berkemahiran tinggi dalam pemalsuan dokumen, dengan menghasilkan pasport mempunyai ciri ketulenan antara 50-60%.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata suspek mampu memperoleh pendapatan sekitar RM18,000 sebulan hasil kegiatan itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen menahan seorang warga Myanmar dikenali sebagai “Rockers” dipercayai aktif dalam kegiatan pemalsuan dokumen rasmi dengan meraih pendapatan sehingga RM18,000 sebulan.

Ketua Pengarahnya Khairul Dzaimee Daud, berkata pemegang sah Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang berkahwin dengan rakyat tempatan itu ditahan Sabtu lalu ketika menunggu pelanggan dalam kereta bagi urusan penyerahan dokumen, berhampiran Plaza Kota Raya di ibu negara.

Lelaki berumur 38 tahun itu berkemahiran tinggi dalam pemalsuan dokumen berciri keselamatan, dengan menghasilkan passport mempunyai ciri ketulenan antara 50% dan 60%.

“Suspek dipercayai menjalankan sindiket pemalsuan dokumen ini secara bersendirian dengan pelanggannya terdiri daripada warga asing terutama dari Bangladesh dan Myanmar,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, suspek mampu memperoleh pendapatan sekitar RM18,000 sebulan hasil kegiatan itu.

Katanya, suspek yang menetap di Malaysia sejak 2016, menggunakan aplikasi WhatsApp, Viber, WeChat dan Telegram untuk mencari pelanggan, selain menemui sendiri pelanggan bagi tujuan transaksi.

“Kadar bayaran dikenakan antara RM300 dan RM1,000 bagi sekeping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara, RM200 pakej Cap Keluar/Masuk pelbagai negara dan RM500 bagi senaskah pasport pelbagai negara.

“Selain itu, RM100 masing-masing bagi sekeping i-kad, kad UNHCR, Sijil Kelahiran Myanmar, sijil perkahwinan Myanmar serta sekeping lesen memandu antarabangsa,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, suspek menyewa dua unit kondominium mewah bertujuan mengelirukan pihak berkuasa, dengan satu unit dijadikan tempat kediaman manakala satu lagi sebagai markasnya.

Menurutnya, suspek membawa pasukan operasi ke kondominium mewah di Bandar Tasik Selatan, Cheras, yang dijadikan markas mencetak dan mengeluarkan dokumen palsu.

“Pasukan operasi menemui satu unit komputer, sembilan mesin pencetak, dua mesin ‘laminate’, satu mesin mengukir nombor, tiga papan pemotong, satu mesin pengimbas dan beberapa peralatan menghasilkan dokumen palsu di premis itu,” katanya.

Turut dirampas, pelbagai jenis dokumen palsu termasuk i-kad, kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), pasport pelbagai negara seperti India, Indonesia dan Amerika Syarikat, sijil perkahwinan negara asing, sijil kelahiran Myanmar, lesen memandu antarabangsa, cop Keluar/Masuk pelbagai negara dan wang tunai RM15,300.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan reman selama 14 hari sejak Sabtu lepas dan disiasat bawah Seksyen 55 (D) Akta Imigresen 1959/63 berhubung kesalahan membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan.

“Selepas melalui proses undang-undang, pas suspek akan dibatalkan, diusir keluar dari Malaysia dan dikategorikan sebagai imigran larangan bawah Seksyen 9 Akta Imigresen serta dilarang memasuki Malaysia sepanjang hayat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.