
Pada 19 Mei, gambar kejadian itu tular dengan pegawai Perhilitan didakwa membunuh 20 ekor lotong di kawasan Kuarters Pendidikan Seri Sentosa.
Perhilitan menafikan tuduhan itu dengan berkata, mereka hanya membunuh tujuh ekor monyet yang agresif dan sering mengganggu penduduk di kawasan itu.
Difahamkan, lotong terbabit dibunuh hanya selepas usaha menangkapnya gagal.
Rajesh Nagarajan, pengasas Lawyers for Animal Rights, memberitahu FMT bahawa mereka dan plaintif lain akan memfailkan saman terhadap agensi tersebut selepas gagal mengambil tindakan terhadap pegawai yang terlibat.

“Banyak aduan sering dibuat terhadap badan-badan di negara ini yang sepatutnya melindungi hak haiwan. Ramai yang bersikap acuh tak acuh, ramai yang menutup mata. Ada juga yang bertindak kejam terhadap haiwan.
“Zaman pihak berkuasa boleh bertindak sewenang-wenangnya, tanpa memperdulikan hak haiwan, sudah berakhir,” katanya.
Kumpulan itu sebelum ini meminta Perhilitan menjalankan siasatan dalaman dan mendakwa pegawai yang bertanggung jawab atas “pembunuhan besar-besaran” tersebut.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk menggunakan semua cara melalui undang-undang untuk (menghukum) pelaku demi mempertahankan hak haiwan di negara ini.
“Ini juga adalah seruan tegas kepada semua aktivis hak haiwan di Malaysia. Sertai kami dalam menegakkan hak haiwan. Tunggu masa sahaja sebelum rakyat secara keseluruhannya sedar akan keadaan buruk berhubung kebajikan haiwan di negara ini.
“Kami akan menang dalam perjuangan kami untuk mewujudkan perlindungan dan penguatkuasaan lebih baik bagi haiwan di Malaysia.”
Laporan tahunan Perhilitan sebelum ini berkata, amalan membunuh haiwan untuk membantu penyelesaian konflik manusia-haiwan bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Pada 2018 sahaja, 53,687 ekor kera berekor panjang dibunuh menerusi amalan tersebut. Tahun lalu, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) akhirnya menurunkan status spesies itu daripada “paling tidak dibimbangi” kepada “rentan”.
Pakar berkata, pengurangan populasi lotong yang terancam atau langur boleh memberi kesan buruk kepada hutan dan komuniti sekitar.