Pekerja kilang sawit maut tersepit mesin

Pekerja kilang sawit maut tersepit mesin

Mayat mangsa ditemui terkepit dalam ‘conveyor’ dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian berlaku ketika mangsa menjalankan kerja penukaran liner pada bahagian hujung mesin, pagi Sabtu lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja kontraktor maut tersepit pada mesin “conveyor” di sebuah kilang kelapa sawit di Pekan Nanas, Pontian, Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Mohd Rosdee Yaacob, berkata kejadian berlaku ketika mangsa berusia 34 tahun itu menjalankan kerja penukaran “liner” pada bahagian hujung mesin berkenaan kira-kira 9.30 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati sebahagian badan mangsa berada di dalam ruang antara ‘scrapper’ dan ‘pulley’ semasa menjalankan kerja pemasangan ‘liner’ tersebut.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terkepit di dalam ‘conveyor’ dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dipetik Bernama.

Susulan itu, Rosdee berkata aktiviti penyelenggaraan di premis itu diarahkan dihentikan serta-merta sehingga siasatan lengkap dijalankan.

Menurutnya, majikan terlibat turut diarahkan menambah baik aspek keselamatan dan kesihatan di premis itu, termasuk prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko.

Katanya, JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian Mustafa Bakri Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Pontian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.