Inisiatif kerajaan ringankan beban pemandu teksi, PKS

Inisiatif kerajaan ringankan beban pemandu teksi, PKS

Lebih daripada bantuan kerajaan, banyak syarikat mahu melihat kadar vaksinasi meningkat dan kes Covid-19 menurun agar negara dapat maju dalam Pelan Pemulihan Negara.

PETALING JAYA:
Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan untuk menyekat pergerakan rakyat, antara golongan yang paling teruk terjejas adalah mereka yang mencari rezeki melalui pergerakan.

“Sewaktu PKP pertama, masih ada pelanggan yang pergi ke mana-mana, tetapi keadaan jadi paling buruk ketika PKP 3.0.

“(Perkhidmatan) teksi bergantung kepada pelanggan yang keluar dan tiada siapa yang keluar sekarang,” kata Zakaria Ibrahim, 61, yang telah memandu teksi selama sedekad.

Katanya, had pergerakan merentas daerah khususnya, menyebabkan pendapatannya merosot; kini, beliau hanya mampu mendapat kira-kira RM30 sehari.

“Sangat sukar untuk orang keluar sekarang. Tetapi saya rasa jika dibenarkan tiga orang (dalam satu kereta), sekurang-kurangnya akan ada yang guna teksi,” katanya kepada FMT di luar pusat beli belah Amcorp Mall, Petaling Jaya.

Zakaria Ibrahim.

Bagaimanapun pakej bantuan kerajaan seperti Pemerkasa Tambahan baru-baru ini, sedikit sebanyak meringankan beban Zakaria dan ramai lain yang senasib dengannya.

“Kerajaan mengagihkan bantuan untuk pemandu teksi sejak PKP pertama hingga yang terbaru ini dan mereka janji untuk beri lebih banyak untuk PKP 3.0 pada Julai, jadi kami sedang menunggunya,” katanya.

“Saya telah menerima sekitar RM2,000 sejak PKP pertama hingga kini, termasuk wang daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Bantuan untuk pemandu teksi adalah automatik kepada mereka yang mempunyai kad pemandu APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) layak (menerima).”

Katanya, rangsangan wang tunai membantunya memberi makan keluarganya, membeli barang keperluan harian dan menambah bayaran sewa rumah dan teksi.

Alan Tan.

Alan Tan, pengarah eksekutif syarikat pembekalan perkakasan OGX Industrial Suppliers berkata, wabak itu mengancam untuk menggagalkan perniagaan yang dibinanya sejak 10 tahun lalu dengan rakan perniagaannya.

“Syukurlah kerajaan cepat bertindak dengan mengumumkan serangkaian inisiatif untuk membantu PKS (perusahaan kecil dan sederhana) dan rakyat.

“Melaluinya, saya dapat SRF (kemudahan bantuan khas) dan juga PSU (program subsidi upah). Ini secara tidak langsung membantu kewangan dan membantu kami mengurangkan beban dari segi pembayaran gaji,” katanya.

Tujuh pekerjanya layak mendapat pelbagai subsidi upah dan syarikat itu diberikan pinjaman sebanyak RM300,000 melalui SRF yang membantu mereka pulih sedikit demi sedikit menjelang akhir tahun lalu.

Dengan keadaan menjadi semakin perlahan semasa PKP 3.0, beliau hanya menjangkakan keadaan akan bertambah baik mulai suku ketiga tahun ini.

Beliau berharap bantuan kerajaan yang lebih langsung, “misalnya, untuk sewa, subsidi utiliti, diskaun lebih besar untuk (bil) Tenaga Nasional Berhad atau bil air”.

“Ini akan memberi kesan langsung berbanding pinjaman kerana anda masih perlu membayar faedah dan membayar balik (pokok),” katanya.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) Kam Lian Hooi berkata, subsidi upah menjadi kunci untuk memastikan banyak PKS terus bertahan sejak wabak mula melanda tetapi beliau berharap ini dapat diperluas.

Katanya, moratorium pinjaman yang disasarkan dalam Pemerkasa Tambahan akan membantu perniagaan yang dianggap tidak perlu untuk mengatasi kehilangan pendapatan ketika terpaksa ditutup.

Kam menambah, lebih daripada bantuan kerajaan, banyak syarikat mahu melihat kadar vaksinasi meningkat dan kes menurun agar negara dapat maju melalui fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara dan lebih banyak sektor dapat dibuka semula.

Beliau juga berharap agar semua orang dapat memainkan peranan mereka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung penularan wabak.

“Tawaran untuk datang ke industri sendiri memberikan vaksinasi percuma juga adalah langkah yang disambut baik untuk membantu meningkatkan kadar vaksinasi dan meringankan beban pemilik perniagaan,” katanya.

Pakej Pemerkasa Tambahan termasuk dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara yang menetapkan asas dan menjadi titik penting buat negara untuk kembali kepada keadaan normal dalam empat fasa.

Pelan ini bertujuan memberi kelegaan kepada rakyat, perniagaan dan pelabur agar mereka dapat membuat perancangan awal ketika tempoh yang tidak menentu buat negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.