Belgium singkir juara bertahan, Belanda gagal ke suku akhir

Belgium singkir juara bertahan, Belanda gagal ke suku akhir

Skuad 'The Red Devils' itu akan bertemu Itali di Munich awal pagi Sabtu ini dan kemungkinan beraksi tanpa Kevin De Bruyne yang mengalami kecederaan.

Pasangan adik beradik Belgium, Eden dan Thorgan Hazard meraikan gol tunggal pasukan dalam perlawanan di Seville awal pagi tadi. (Gambar AP)
SEVILLE:
Gol tunggal Thorgan Hazard menyingkirkan juara bertahan Portugal daripada saingan Euro 2020 sebentar tadi, sekali gus menyaksikan Belgium akan bertemu Itali pada aksi suku akhir.

Jaringan Hazard pada babak pertama menyaksikan Belgium meraih kemenangan 1-0 dalam perlawanan sengit peringkat kalah mati di Seville.

Cristiano Ronaldo cuba menguji penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois menerusi sepakan percuma pada separuh masa pertama namun bintang berusia 36 tahun itu gagal memecahkan rekod gol antarabangsa pada penampilan kali kelimanya.

Raphael Guerreiro hampir menyamakan kedudukan pada lewat permainan namun ia sedikit tersasar, meskipun Belgium sememangnya dilihat lebih garang dan berhak memenangi perlawanan hari ini.

Skuad ‘The Red Devils’ itu akan bertemu Itali di Munich awal pagi Sabtu ini dan kemungkinan beraksi tanpa Kevin De Bruyne yang mengalami kecederaan pada separuh masa kedua.

Terdahulu dalam satu lagi perlawanan peringkat kalah mati, Republik Czech turut mara ke saingan suku akhir Euro 2020 selepas mengejutkan pasukan pilihan, Belanda yang beraksi dengan 10 pemain menerusi keputusan 2-0 di Budapest.

Ketiadaan tonggak pertahanan skuad Oranje, Matthijs de Ligt yang dilayangkan kad merah pada minit ke-55 telah mengubah segalanya selepas kedua-dua pasukan kemarau gol pada babak pertama.

Pertahanan Juventus itu didakwa sengaja menampan bola semasa bergelut dengan Patrik Schick yang menghampiri kotak penalti Belanda, dengan asakan itu berpotensi untuk gol.

Pengadil terdahulu melayangkan kad kuning, namun selepas merujuk video bantuan pengadil (VAR), De Ligt yang juga bek tengah Belanda terus dilayangkan kad merah.

Republik Czech akan berdepan Denmark dalam aksi suku akhir di Baku, Azerbaijan pada Sabtu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.