
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua individu berumur 18 hingga 54 tahun termasuk dua wanita ditahan menerusi Op Soga hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta aduan dan maklumat orang awam.
Beliau berkata, semua individu warga tempatan yang ditahan itu merupakan ejen atau “bookie” sindiket pertaruhan dalam talian dengan menggunakan 20 laman web pertaruhan judi yang beroperasi di luar negara.
“Serbuan yang dilakukan adalah di kawasan perumahan, bukan di premis kerana sebelum pandemik Covid-19 mereka dipercayai ada pusat pertaruhan sendiri.
“Kita percaya ada lagi saki-baki ahli sindiket yang bebas kerana kejohanan tersebut berlangsung hingga 12 Julai ini dan nilai taruhan adalah lebih tinggi. Operasi (Op Soga) juga akan dijalankan berterusan,” katanya dalam sidang media di IPK Johor sini hari ini.
Ayob berkata, antara yang dirampas menerusi serbuan tersebut ialah wang tunai berjumlah RM35,112, 71 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 67 keping kad sim, 15 helai kertas catatan rekod pertaruhan, dua jadual perlawanan UEFA Euro dan empat komputer riba.
Katanya, semua individu terbabit ditahan reman antara dua hingga empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953.
Pada masa sama beliau menyeru orang ramai sekiranya mempunyai maklumat mengenai kegiatan pertaruhan judi seumpama itu supaya menyalurkannya menerusi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07 2212999 atau 07 2254677.