Parlimen hanya boleh bersidang setelah Darurat berakhir, kata Takiyuddin

Parlimen hanya boleh bersidang setelah Darurat berakhir, kata Takiyuddin

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bertitah Dewan Rakyat boleh bersidang ‘secepat mungkin’ susulan pertemuan baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata, undang-undang berkaitan sidang Parlimen akan berkuat kuasa semula sebaik Darurat tamat.
KOTA BHARU:
Parlimen hanya akan kembali bersidang selepas Darurat berakhir pada 1 Ogos, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, memandangkan Darurat masih berkuat kuasa, tiada notis yang dikeluarkan Dewan Rakyat untuk persidangan diadakan.

“Darurat ini tamat pada 1 Ogos. Selepas itu, barulah undang-undang yang berkaitan memanggil Parlimen berkuat kuasa semula,” katanya kepada Bernama selepas melawat pusat selepas melakukan tinjauan di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Dewan Perniagaan Cina Kelantan, di sini hari ini.

“Selepas Proklamasi Darurat ditamatkan barulah boleh dikeluarkan notis, sekiranya Parlimen hendak bersidang.”

Ketika ditanya mengenai persidangan Parlimen secara hibrid, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menjelaskan perkara tersebut adalah satu pilihan sekiranya tidak boleh bersidang secara fizikal.

“Maksud hibrid sebahagian bersidang secara fizikal dalam jumlah tertentu dan yang lain hadir secara maya, dalam talian. Sekarang pun banyak mesyuarat termasuk mesyuarat Kabinet diadakan secara dalam talian.

“Jadi, pihak Parlimen yang mencadangkan pada kerajaan kalau tidak boleh dibuat secara fizikal dan jika kerajaan putuskan untuk mengadakan Parlimen, pilihannya adalah hibrid,” katanya.

Tarikh Parlimen dibuka semula menjadi topik perbahasan akhir-akhir ini, berikutan titah Yang di-Pertuan Agong agar perkara itu dilaksanakan “secepat mungkin” selepas mengadakan persidangan khas dengan Raja-Raja Melayu bulan ini.

Beberapa dewan undangan negeri seperti di Selangor dan Johor, sudah memulakan proses membuka semula persidangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.