Petugas barisan hadapan alami ‘burnout’

Petugas barisan hadapan alami ‘burnout’

Kajian yang dijalankan tahun ini mendapati lebih separuh daripada 893 responden petugas barisan hadapan menunjukkan gejala ‘burnout’.

Dr Noor Hisham berkata, kebanyakan pekerja barisan hadapan merasakan mereka tidak mendapat sokongan psikososial yang mencukupi di tempat kerja.
PETALING JAYA:
Petugas barisan hadapan dikesan mengalami gejala tekanan melampau atau ‘burnout’ kerana perlu bekerja dengan komitmen melebihi 100% bagi tempoh yang lama, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, keadaan ini mengakibatkan keletihan fizikal dan mental yang boleh mengganggu tumpuan serta produktiviti petugas barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Susulan itu, beliau menawarkan beberapa petua yang boleh diamalkan pekerja barisan hadapan untuk meredakan tekanan dialami mereka.

“Bekerjalah secara berkesan sebagai satu pasukan untuk meringankan beban kerja, dan sentiasa lakukan penilaian kendiri untuk mengenal pasti tanda-tanda awal ‘burnout.’

“Selain itu, pupuk hubungan baik antara rakan sekerja dan keluarga.

“Bersedialah untuk berkongsi dan menerima nasihat sekiranya ada masalah, amalkan senaman dan teknik kawalan pernafasan, dapatkan rehat secukupnya serta jaga pemakanan,” katanya.

Beliau memetik kajian yang menunjukkan 53.8% daripada 893 pekerja kesihatan dikaji selidik menunjukkan tanda-tanda mengalami ‘burnout.’

“Kebanyakannya merasakan mereka tidak mendapat sokongan psikososial yang mencukupi di tempat kerja.

Menurutnya, pihak kementerian melaksanakan pelbagai langkah termasuk saringan kesihatan mental sentiasa, merujuk kepada pakar sekiranya diperlukan selain sesi ‘pre-deployment’ untuk menyediakan mereka bagi tugasan yang bakal dihadapi.

Selain itu, katanya, pekerja kesihatan turut diberikan cuti tambahan, selain sesi ‘debriefing’ selepas tamat tugas di lapangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.