Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka terbaharu itu menjadikan jumlah jangkitan setakat ini 734,048 kes.
Selangor sekali lagi mencatatkan jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 2,212 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur (628), Sarawak (513), Negeri Sembilan (501), Melaka (380), Johor (312), Perak (229), Sabah (190), Pulau Pinang (138), Kelantan (133), Kedah (129), Pahang (118), Labuan (83), Terengganu (16) dan Putrajaya (4).
Daripada jumlah kes baharu itu, tiga kes import dan baki 5,583 adalah penularan tempatan.
Katanya, terdapat 61,395 kes aktif, dengan 446 daripada 886 pesakit di unit rawatan rapi (ICU) memerlukan bantuan pernafasan.
Kes sembuh pula mencatatkan 4,777 dengan jumlah kumulatif sebanyak 667,709 kes manakala jumlah keseluruhan kematian setakat ini 4,944.
Selain itu, Hisham berkata sebanyak 60 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 20 kes di Selangor, 16 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, enam kes di Kelantan, lima kes di Johor, empat kes di Negeri Sembilan, tiga kes di Sarawak, masing-masing dua kes di Melaka dan Pahang, serta masing-masing satu kes di Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kes kematian itu membabitkan 52 warganegara dan lapan bukan warganegara.
“Korban termuda berusia 20 tahun manakala paling tua berusia 88 tahun dengan majoritinya mempunyai sejarah penyakit kronik seperti kencing manis, jantung, darah tinggi, buah pinggang dan strok.” katanya.