
Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Putus itu berkata, selepas melihat lapan tok batin lain yang turut divaksin sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang julung kali dilaksanakan bagi masyarakat Orang Asli di Melaka semalam, hatinya mula berubah.
“Sebelum menerima suntikan, petugas kesihatan tanya saya ada sakit apa-apa? Saya jawab hanya ada darah tinggi. Memang pada mulanya saya datang ke Balai Raya Kampung Lubuk Bandung ini untuk lihat-lihat dahulu keadaan orang yang telah menerima suntikan vaksin.
“Namun, selepas melihat beberapa tok batin lain yang menerima suntikan tidak mengalami kesan (sampingan), saya berubah hati dan bersetuju menerima vaksin. Takut pada jarum juga jadi punca saya takut nak terima suntikan.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di Balai Raya Kampung Orang Asli Lubuk Bandung di Simpang Bekoh, yang mula dibuka sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) pertama bagi masyarakat Orang Asli di Melaka Khamis lepas.
Kampung Orang Asli Bukit Putus yang bersempadanan Negeri Sembilan, terletak kira-kira 34km dari Kampung Orang Asli Lubuk Bandung.
Apen berkata, beliau akan menguar-uarkan kebaikan vaksin kepada semua anak buahnya yang layak, sebaik pulang ke kampungnya.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, San Pat, 77, berkata langkah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) meyakinkan semua sembilan tok batin masyarakat Orang Asli adalah tepat memandangkan setiap “kata-kata” mereka akan diikuti anak buah masing-masing.
“Selepas pegawai JAKOA masuk ke kampung beritahu nak beri suntikan vaksin kepada penduduk, hanya 30 orang yang layak untuk terima suntikan bersetuju pada peringkat awal.
“Bagaimanapun, selepas saya cabar mereka, terutama golongan muda, lebih ramai yang bersetuju menerima suntikan dan saya amat bangga dengan kesudian mereka.”
Tok Batin San Pat merupakan individu pertama dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Temuan di Melaka yang menerima vaksin sejak PICK dilancarkan beberapa bulan lepas.
Dalam pada itu, Pengarah JAKOA Negeri Sembilan/Melaka, Shahrani Idderis berkata, Kampung Orang Asli Lubuk Bandung mencatat sejarah tersendiri kerana merekodkan pencapaian 100% individu dalam kalangan masyarakat itu menerima suntikan vaksin semalam.
“Terdapat 146 penduduk di Kampung Orang Asli Lubuk Bandung dengan 81 individu yang layak menerima suntikan dan mereka semua bersetuju berbuat demikian.
“Ini satu pencapaian yang membanggakan kepada kampung ini dan saya berharap ia akan menjadi ikutan 13 lagi kampung Orang Asli di Melaka menerusi pengaruh tok batin masing-masing.”