Taktik sembunyi bawah meja gagal, warga asing ditahan

Taktik sembunyi bawah meja gagal, warga asing ditahan

Lelaki itu antara 72 warga asing berusia 20 hingga 50 tahun yang ditahan dalam Op Patuh di sekitar Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan awal pagi tadi.

Seramai 19 warga Bangladesh, sembilan Myanmar, tiga Indonesia, masing-masing seorang warga India dan Nepal serta 39 pemegang kad UNHCR ditahan dalam Op Patuh di sekitar Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang warga asing bersembunyi di bawah meja di sebalik timbunan barang demi mengelakkan ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Jabatan Imigresen berjaya menangkap lelaki itu dalam Op Patuh di sekitar Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, yang bermula 1 pagi tadi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said berkata, lelaki itu antara 72 warga asing berusia 20 hingga 50 tahun yang ditahan dalam operasi disertai 100 anggota dan pegawai Imigresen dari Putrajaya dan Selangor, dengan bantuan 12 anggota serta pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Tahanan itu membabitkan 19 warga Bangladesh, sembilan Myanmar, tiga Indonesia, India dan Nepal masing-masing seorang serta 39 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dipetik Berita Harian selepas meninjau operasi itu.

Beliau berkata, semua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut dan pihaknya akan memeriksa sama ada warga asing itu mempunyai dokumen serta permit kerja sah.

“Kita juga akan periksa jika tahanan itu bekerja dalam sektor mengikut permit kerja, sebab ada kes di mana permit untuk kerja pembinaan, tetapi mereka kerja di pasar borong.

“Itu dikira menyalahgunakan permit kerja, malah majikan yang didapati menggajikan pekerja asing tidak mengikut permit dikeluarkan boleh diambil tindakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.