Rampasan 3 tan ayam disumbang kepada Zoo Melaka

Rampasan 3 tan ayam disumbang kepada Zoo Melaka

Rampasan bekalan ayam sejuk beku dari Thailand itu bernilai RM27,270.

Timbalan Menteri Pertanian, Ahmad Hamzah (dua dari kiri) menyerahkan bekalan ayam sejuk beku kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Shadan Othman. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga tan ayam sejuk beku bernilai RM27,270 yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) disumbangkan kepada Zoo Melaka.

Pengarah MAQIS Melaka, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, ia adalah hasil rampasan ayam sejuk beku dari Thailand yang dilucutkan hak untuk kes sejak Mei dan Jun lalu.

“Semua ayam sejuk beku ini ditahan ketika cuba dibawa masuk dari negara jiran ke Malaysia melalui pengkalan haram tebing Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan, yang didapati tidak memiliki dokumen seperti permit import MAQIS, sijil kesihatan veterinar dan sijil halal,” katanya dipetik Harian Metro dalam kenyataan.

Beliau berharap langkah itu dapat membantu Zoo Melaka dari segi kelancaran operasi, dengan menampung bekalan makanan untuk haiwan.

Katanya, MAQIS komited melaksanakan tanggungjawab sosial untuk membantu dan menyumbang kepada pihak memerlukan seperti Zoo Melaka.

“Selain menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang dalam memastikan isu membabitkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal di kesemua pintu masuk.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.