PPV Bas Bergerak Mara Liner vaksin 800 orang sehari, kata timbalan menteri

PPV Bas Bergerak Mara Liner vaksin 800 orang sehari, kata timbalan menteri

PPV bergerak itu mampu beroperasi 10 jam sehari tanpa mengambil kira pendaftaran melalui MySejahtera di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli pada Program Pemberian Vaksin Bas Bergerak MARA Liner di Orang Asli One Stop Centre Bawong di Sungai Siput hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pusat pemberian vaksin (PPV) Bas Bergerak Mara Liner Sdn Bhd mampu memberi 800 suntikan sehari di luar bandar, malah beroperasi selama 10 jam sehari tanpa mengambil kira pendaftaran melalui Mysejahtera.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Abdul Rahman Mohamad dipetik Bernama berkata, 17 bas ekspres Mara Liner dijadikan PPV dan sebagai permulaan, dua bas pertama digerakkan di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong di Sungai Siput, melibatkan 100 orang penerima termasuk 40 Tok Batin dan 60 warga emas Orang Asli.

“Sungai Siput menjadi lokasi pertama PPV Bas Bergerak Mara Liner sebagai usaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membawa suntikan vaksin Covid-19 ke kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Pemberian Vaksin Bas Bergerak Untuk Tok Batin dan Masyarakat Orang Asli di OAOSC Bawong di sini hari ini.

Beliau berkata PPV Bas Bergerak itu akan diteruskan ke Mersing, Johor dan kawasan Orang Asli di seluruh negara sebagai usaha memastikan masyarakat luar bandar termasuk golongan itu tidak ketinggalan mendapatkan suntikan vaksin bagi mengekang penularan wabak.

Katanya, program itu dijayakan melalui kerjasama antara PPV Bas Bergerak Mara Liner, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, Hospital Daerah Sungai Siput serta beberapa agensi kerajaan lain.

“KPLB sentiasa berusaha memberi penerangan jelas mengenai kebaikan suntikan vaksin Covid-19 kepada masyarakat luar bandar serta membantu mereka yang menghadapi kesulitan untuk bergerak ke PPV, dengan membawa PPV Bas Bergerak Mara Liner ini ke kawasan yang berdekatan dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata melalui usaha-usaha yang dilaksanakan itu, KPLB berharap 144,180 masyarakat Orang Asli di seluruh negara yang layak divaksin dapat menerima suntikan dengan segera, seterusnya membantu pihak kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini.

Abdul Rahman berkata semakin ramai Orang Asli kini inginkan vaksin, malah ada yang tidak sabar untuk mendapatkan suntikan kerana mereka mahu menjalani kehidupan seperti dahulu, termasuk berjalan di bandar tanpa memakai pelitup muka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.