
“Saya keluar membeli susu untuk anak-anak saya, tetapi menggunakan wang itu untuk membeli dadah.
“Saya sangat menyesal. Bagaimana saya hendak pulang dan memberitahu satu-satunya wanita yang mempercayai saya, apa yang telah saya lakukan?” katanya kepada FMT.
Penagih dadah lebih 10 tahun, kebanyakannya menggunakan heroin dan ganja, katanya, beliau kerap cuba berhenti tetapi keadaan menjadi semakin teruk, sehingga menyakiti orang di sekelilingnya.
Tidak berani untuk terjun, Ramli pulang berjumpa isterinya dan buat pertama kalinya mengakui beliau memerlukan pertolongan.
Pada Hari Merdeka 1986, beliau dihantar ke pusat pemulihan yang mengubah hidupnya dan menerangi jalan yang kini dilalui lebih 30 tahun.
“Ia sangat berdisiplin dan kuat pada masa itu. Suatu ketika, saya dihantar ke pengasingan selepas mereka menuduh saya mencuri dan saya menghabiskan dua minggu di tempat yang pada dasarnya ialah tandas.
“Saya diberi empat keping biskut sehari dan keadaan sangat gelap, saya tidak tahu sama ada ia adalah siang atau malam.
“Saya keluar tanpa ketagihan lagi selepas setahun dan saya tahu apa yang saya mahu lakukan. Saya memberitahu diri: ‘Adakah ini caranya kita mahu memulihkan penagih? Baiklah, saya akan tunjukkan kepada anda.’ Saya menjadikan kemarahan saya sebagai motivasi.”
Selepas membina rangkaian longgar bekas penagih untuk membantu mereka yang dalam proses pemulihan, beliau akhirnya menubuhkan Persatuan Pengasih Malaysia pada 1991, yang membantu ribuan rakyat Malaysia bukan pulih, tetapi kekal bersih daripada dadah selamanya.
“Dengan kaedah kami, kami dapati hampir 70% orang yang keluar tidak pernah menyentuh dadah lagi, sangat baik jika dibandingkan dengan pusat lain. Selain itu, mereka mendapatkan pekerjaan, menjalin hubungan dan menuntut kembali kehidupan mereka.”
Dikendalikan sepenuhnya oleh penagih yang pulih, sistem itu menyokong dan membina semula harga diri penghuni daripada dianggap sudah rosak. Ia merawat lebih 300 penghuni setahun di enam kemudahan di seluruh negara.
“Ketika mereka berada di sekitar penagih yang pulih, mereka merasakan ada harapan. Mereka nampak ia boleh dilakukan dan ada jalan keluar untuk mereka.”

Program itu bermula dengan tiga bulan pemantauan untuk menstabilkan pesakit, kebanyakannya mengalami gejala menyakitkan yang memerlukan terapi penggantian seperti rawatan metadon.
Ia disusuli terapi dan latihan semula mental untuk menunjukkan kepada penghuni yang mereka boleh hidup tanpa bergantung kepada dadah.
“Otak tidak seperti komputer. Anda tidak boleh memadam kenangan begitu sahaja. Oleh itu, kami menggalakkan senaman untuk merangsang endorfin mereka. Kami menjalankan aktiviti sosial seperti karaoke untuk menunjukkan kepada mereka kehidupan bukannya hambar tanpa sebarang nikmat.”
Mereka kemudiannya diberikan tanggungjawab di pusat itu sebagai tukang masak atau pentadbir “untuk membina semula harga diri dan membuatkan mereka merasakan diri mempunyai matlamat.”
Bekas pesakit bernama Aidan, yang kini belajar dalam bidang reka bentuk grafik di sebuah universiti, sambil bertugas buat kali kedua di Pengasih.
“Saya mengambil Nospan, pil batuk. Di Kuching, tiada pantang larang mengenainya dan sangat senang mendapatkannya.
“Selepas lima tahun menggunakannya, saya menghidap skizofrenia dan beberapa tahun kemudian, saya mengambil ‘meth’ (syabu).”
Kini, Aidan menggunakan kemahiran grafik dan reka bentuk laman webnya untuk membantu pusat itu. Beliau memutuskan untuk terus tinggal di Pengasih sambil melanjutkan pelajaran supaya boleh fokus dan memanfaatkan masyarakat sokongan di sekelilingnya.
“Saya hampir ketinggalan di universiti selepas saya kambuh. Saya sedar jika saya boleh kehilangannya, saya benar-benar boleh kehilangan segalanya, jika tidak bersungguh-sungguh memulihkan diri.”
Ramli berkata, penggunaan dadah berubah daripada zaman beliau menjadi pengguna aktif, dan terdapat trend membimbangkan dalam kalangan individu yang pergi ke pusat ini.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya melihat doktor, pensyarah, juruterbang, pelbagai jenis profesional. Dadah pernah digunakan untuk tujuan rekreasi, tetapi kini ada yang mengambil dadah untuk meningkatkan prestasi.”
Dadah seperti amfetamin, dapat meningkatkan tumpuan seseorang dan pengguna boleh berfikir dengan lebih cepat, tetapi Ramli memberi amaran kesannya melebihi manfaat prestasi yang mungkin dirasakan seseorang.
“Kepada mereka yang masih menggunakannya, dadah adalah penyelesaian sementara untuk masalah. Dalam jangka panjang, ia akan menghancurkan anda. Ada sebabnya anda tidak melihat penagih yang sangat berjaya. Ia tidak bertahan.
“Tabiat ketagihan merosakkan. Ini adalah ketamakan yang licik. Ia sangat berbahaya.”
Mereka yang berminat menyumbang kepada Pengasih boleh berbuat demikian melalui laman web.