
Ketua Polis Daerah Jempol, Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian pada 2.30 petang itu, kedua-dua suspek berusia 39 tahun yang dalam keadaan mencurigakan itu ditahan selepas gagal memberikan alasan munasabah sebelum pemeriksaan lanjut menemui pelbagai dadah di bahagian brek tangan kereta berkenaan.
“Polis merampas dua paket plastik lut sinar berisi dadah jenis heroin seberat 110.5 gram (g) dan dua paket plastik lut sinar pelbagai saiz mengandungi ketulan jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 13.25g, semuanya bernilai RM5,193,” katanya dalam kenyataan.
Hoo berkata, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh itu juga didapati positif dadah jenis MOP selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Katanya, mereka masing-masing diperintah menjalani tahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Simpang Rengam, Johor dan PPA Batu Gajah, Perak.
Dalam pada itu, Hoo berkata, kedua-dua suspek juga dikompaun RM5,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan kesalahan rentas negeri.