PSR mungkin pengakhiran kepada hasil tangkapan udang besar P Pinang, kata nelayan

PSR mungkin pengakhiran kepada hasil tangkapan udang besar P Pinang, kata nelayan

Ketua Nelayan Sungai Batu berkata, 'lombong emas' udang besar itu akan hilang apabila kerja tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang bermula.

Ketua Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail. (Gambar Andrew Han)
GEORGE TOWN:
Udang besar yang menyelerakan menjadi antara juadah popular disajikan bersama beberapa hidangan ikonik di Pulau Pinang.

Udang itu yang hampir semuanya ditangkap nelayan di selatan Pulau Pinang adalah hasil bernilai tinggi, yang harganya mencecah antara RM50 hingga RM60 sekilogram.

Jika bernasib baik, seorang nelayan mampu menangkap udang besar sehingga mencecah RM700 pada satu-satu masa.

Bagaimanapun, semua kekayaan hasil laut itu akan hilang jika projek tambakan laut skala besar dilaksanakan di perairan selatan pulau berkenaan, kata nelayan yang ditemui hari ini.

Ketua Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail, berkata ini kerana sejak sekian lama, perairan selatan cukup terkenal kerana hasil tangkapan udang besar yang menjadi “lombong emas” sebahagian daripada 1,000 nelayan tradisional di kawasan itu.

“Di mana lagi boleh kamu dapat udang besar yang segar dan berkualiti. Ia hanya ada di selatan Pulau Pinang dan tiada di tempat lain,” katanya dalam bual bicara dihoskan ABIM hari ini mengenai Projek Tambakan Laut Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Udang besar segar dari perairan selatan. (Gambar Zakaria Ismail)

Zakaria, 61, mengetuai 185 kumpulan nelayan dari selatan Pulau Pinang dalam rayuan bantahan mereka terhadap kelulusan projek itu oleh Jabatan Alam Sekitar, yang dijadualkan didengar bermula 12 hingga 14 Julai.

Sementara itu, katanya mengikut sejarah, perairan selatan menjadi sumber protein utama Pulau Pinang sejak sebelum Francis Light mendarat di pulau itu lagi.

Katanya, lebih 20% daripada 3,200 tan ikan datang dari perairan selatan, ia tidak hanya menjejaskan periuk nasi nelayan, tetapi juga mereka yang bergantung hidup dengan hasil hidupan laut sebagai sumber makanan.

Zakaria turut menolak dakwaan pihak yang mendakwa tiada nelayan di selatan dengan sebahagian daripadanya tidak melakukan aktiviti menangkap ikan.

Katanya, kebanyakan nelayan keluar ke laut bergantung kepada keadaan pasang surut air dan menggunakan jala untuk menangkap ikan di pesisir pantai.

Pada September dan November, ia adalah waktu nelayan tidak keluar kerana angin kencang dari barat dengan cuaca tidak menentu serta laut bergelora.

Bot nelayan di perairan selatan Pulau Pinang. (Gambar Andrew Han)

“Adakah anda mengharapkan kami keluar 24 jam sehari? Tolonglah jangan hanya duduk di pejabat berhawa dingin dan kemudian menilai kerja kami. Kami tidak mahu mana-mana ‘tentera siber’ yang tidak bertanggungjawab memanggil kami sebagai pemalas.

“Ada banyak faktor yang harus diperhatikan sebelum kita keluar – kelajuan angin, pasang surut, cuaca. Dalam sehari, terdapat empat fasa pasang surut yang perlu dipertimbangkan. Kamu tak fikir ke bahawa kami mahu mencari nafkah? katanya.

Zakaria berkata, pengkritik perlu melihat realiti hari ini. Katanya dengan keadaan PKP ketika ini, keluar ke laut adalah satu keperluan dan mereka setidak-tidaknya mampu meraih RM200 sehari.

Katanya, walaupun jumlah itu dilihat besar, namun ada banyak pertimbangan lain yang perlu diambil kira termasuk kos diesel, membeli jaring baharu dan perkara lain berkaitan.

“Kami ke laut dengan kasih sayang. Itu yang kami lakukan sejak beberapa generasi lalu. Jangan rosakkan dan ancam keselamatan makanan kami,” katanya.

Banyak “suara” menentang pelaksanaan projek PSR, yang akan menyaksikan tiga pulau seluas 4,500 ekar dibina di perairan selatan.

Pembangkang juga bimbang projek itu akan merosakkan alam sekitar secara serius dalam jangka panjang.

Mereka yang menyokong PSR mengatakan bahawa ia akan ditambak mengikut piawaian paling ketat, selepas mendapat persetujuan untuk melaksanakan projek itu oleh Jabatan Alam Sekitar pada 2019.

Projek itu akan membantu membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion, yang akan menyaksikan rangkaian lebuh raya dan laluan LRT, akan dibina dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.