Putrajaya digesa tingkatkan sokongan untuk saringan besar-besaran Selangor

Putrajaya digesa tingkatkan sokongan untuk saringan besar-besaran Selangor

MMA berkata, negeri itu perlu meningkatkan kadar saringan Covid-19.

Kes sporadik Covid-19 dilaporkan meningkat di Lembah Klang, walaupun kadar jangkitan harian terus berkurang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa sokongan Putrajaya ditingkatkan untuk program saringan Covid-19 secara besar-besaran kerajaan negeri Selangor.

Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy berkata, beliau sangat bimbang dengan kes sporadik di Lembah Klang.

Katanya, adalah penting untuk mengesan jangkitan lebih awal supaya individu dijangkiti Covid-19 boleh diasingkan dengan cepat.

Beliau berkata, kadar tinggi jangkitan di Selangor menunjukkan ramai yang dijangkiti Covid-19 dalam komuniti belum dikesan lagi. Ini bermakna negeri itu perlu meningkatkan kadar saringannya dan boleh mendapatkan lebih banyak sokongan daripada kerajaan persekutuan.

Subramaniam berkata, negeri lain patut menjalankan program saringan seperti yang dilakukan di Selangor.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ujian besar-besaran perlu disusuli pengesanan, pengujian dan pengasingan kontak rapat.

“Kewujudan kes sporadik bermakna Kementerian Kesihatan tidak dapat mengenal pasti sumbernya. Jika kebanyakan kes adalah sporadik, ini menunjukkan ada lebih ramai orang dijangkiti penyakit ini dalam komuniti yang belum dikesan lagi. Ini bermakna pengesanan kontak gagal.

Beliau berkata, saringan besar-besaran perlu disasarkan dan dilakukan untuk populasi berisiko tinggi serta di lokasi dikaitkan dengan penularan komuniti.

Baru-baru ini, kes sporadik Covid-19 dilaporkan meningkat di Lembah Klang walaupun kadar jangkitan harian terus berkurang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 69% daripada 578,105 kes Covid-19 yang dicatatkan sejak awal tahun ini hingga 19 Jun lalu adalah kes sporadik.

Negeri dengan jumlah kes sporadik tertinggi ialah Selangor (151,725), Kuala Lumpur (44,517) dan Sarawak (40,889).

Daerah di Selangor dengan kes sporadik tertinggi ialah Petaling (3,905), Hulu Langat (2,783) dan Klang (2,482).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.