Usahawan PKS P Pinang makin tertekan akibat pandemik, NGO cadang 14 langkah

Usahawan PKS P Pinang makin tertekan akibat pandemik, NGO cadang 14 langkah

Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang berkata antaranya pemberian moratorium secara automatik kepada semua, seperti dilaksanakan semasa PKP pertama yang akan memudahkan semua tanpa perlu memohon kepada bank.

Pemberian moratorium automatik antara langkah dicadangkan Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang bagi membantu usahawan yang terkesan dan tertekan akibat pandemik Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pertubuhan Usahawan Muslim Pulau Pinang mencadangkan 14 langkah boleh dilaksanakan kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban usahawan kecil Pulau Pinang yang semakin tertekan dengan situasi semasa pandemik Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presidennya Muhamad Farid Saad berkata, pihaknya sudah membuat tinjauan bagi melihat masalah dihadapi usahawan mikro, kecil dan sederhana yang rata-rata tertekan dengan keadaan semasa dan memerlukan tindakan segera bagi menanganinya selain langkah sudah diputuskan kerajaan pusat.

Katanya, antara langkah dicadangkan adalah pemberian moratorium secara automatik kepada semua, seperti dilaksanakan semasa perintah kawalan pergerakan pertama yang akan memudahkan semua tanpa perlu memohon kepada bank.

“Subsidi upah dicadang dilanjutkan sehingga Disember tahun ini dan pengecualian sewa atau sekurang-kurangnya pengurangan sewa daripada agensi kerajaan dan swasta sehingga juga hingga akhir tahun.

“Pihak swasta akan mendapat pengurangan cukai pendapatan, jika mereka memberikan pengecualian sewa kepada usahawan kecil,” katanya dalam kenyataan.

Farid turut mencadangkan pemberian geran khas untuk semua usahawan IKS bagi membaik pulih atau membangunkan semula perniagaan yang terjejas.

Selain itu katanya, pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai, boleh mengeluarkan lesen perniagaan sementara kepada penjaja tepi jalan dan diberikan lesen sepenuhnya jika perniagaan diteruskan selepas PKP.

Dalam pada itu, Farid turut mencadangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi pengurangan bil elektrik sebanyak 30% kepada semua usahawan IKS.

Katanya, kerajaan juga boleh memberi pengecualian atau pengurangan cukai pendapatan individu dan syarikat kepada semua usahawan IKS sepanjang era pandemik ini.

“Ia termasuk melonggarkan syarat-syarat pinjaman mudah untuk usahawan IKS bertaraf B40 dan M40 dengan kadar faedah yang rendah bawah 3%.

“Menyediakan talian internet percuma kepada semua usahawan kecil. Ini bagi membolehkan mereka berniaga dan memasarkan barangan secara atas talian,” katanya.

Dalam pada itu, infrastruktur telekomunikasi juga perlu diperbaiki dan mencadangkan kerajaan meningkat kemudahan infrastruktur bagi memastikan talian internet yang stabil.

Katanya, perkhidmatan e-panggilan juga perlu dikawal harganya berikutan lambakan yang mengakibatkan kos meningkat selain memantau dan menyekat laman web yang kerap mengambil kesempatan kepada usahawan yang baru berjinak-jinak dalam pemasaran secara atas talian.

Farid dalam pada itu, meminta kerajaan memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap kebanyakan pemborong yang menaikkan harga barang sesuka hati tanpa kawalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.