
Jurucakap Parlimen PKR untuk pengangkutan, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Wee wajib menjawab persoalan sama ada Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 bakal mendapat manfaat daripada pengambilalihan itu.
Beliau bimbang kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempertimbangkan cadangan itu walaupun mendapat bantahan pemegang taruh seperti Kesatuan Sekerja MAHB (KESMA) dan Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam.
“Banyak lagi persoalan perlu dijawab. Apakah ciri-ciri penting terma kepada cadangan pengambilalihan dan mengapakah tiada proses tender terbuka?
“Kerajaan juga perlu bersikap telus berkenaan skop dan terma cadangan konsesi. Apa akan berlaku kepada status undang-undang MAHB dan kepentingan di LTSAAS?” katanya dalam kenyataan.
Menurut laporan berita, syarikat pembinaan dan pembangunan WCT Holdings Bhd, yang dikuasai taikun Desmond Lim, menyerahkan cadangan untuk mengendalikan LTSAAS di bawah pajakan dengan kerajaan terus memiliki tanah dan lapangan terbang terbabit.
Bagaimanapun Kementerian Pengangkutan dilaporkan berkata, sebarang cadangan membangunkan semula lapangan terbang itu masih di peringkat awal dan Kabinet akan menentukan perkara itu.
LTSAAS adalah milik MAHB sepenuhnya dan antara tujuh daripada lapan lapangan terbang MAHB yang memberi keuntungan kepada syarikat berkenaan.
Syed Ibrahim berkata, menjadi persoalan mengapa Wee tidak berpihak kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sebagai syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan.
“Agak aneh apabila menteri (pengangkutan) melayan cadangan Lim dan tidak berpihak kepada MAHB. Apakah Lim mempunyai kuasa pengaruh yang istimewa ke atas menteri?” katanya yang mendesak kerajaan menolak cadangan itu.