Pelan pemulihan perlu guna tanda aras antarabangsa, kata Dr Adeeba

Pelan pemulihan perlu guna tanda aras antarabangsa, kata Dr Adeeba

Pakar penyakit berjangkit itu turut menggesa penggunaan teknologi dengan lebih baik untuk menjangka kluster pada masa akan datang.

Pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, generasi baharu ujian RTK Antigen bukan saja lebih baik, malah boleh dibeli dengan harga lebih murah jika pembelian dibuat secara besar-besaran.
PETALING JAYA:
Kerajaan sepatutnya menggunakan indikator antarabangsa dalam menangani fasa berbeza pelan pemulihan Covid-19 negara, kata pakar penyakit berjangkit di Universiti Malaya Dr Adeeba Kamarulzaman.

Bercakap kepada panel bertajuk “Weathering the Surge” anjuran World Bank Malaysia, Adeeba berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengemas kini garis panduannya berhubung kesihatan awam dan langkah-langkah sosial ketika wabak.

Ini termasuk garis panduan mengenai kemasukan baharu ke hospital per 100,000 penduduk, mortaliti atau bilangan kematian per 100,000 penduduk, insidens kes atau kes baharu per 100,000 penduduk, serta kadar kepositifan.

Malaysia kini di peringkat Tahap 3 penularan komuniti bagi insidens kes dan kadar kepositifan, katanya.

Adeeba menegaskan, tanpa pemantauan, pengesanan kontak, ujian dan strategi kuarantin lebih baik, isu sama akan tetap berterusan apabila negara ini bersedia untuk dibuka semula di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara 2021.

Katanya, kerajaan tidak boleh melihat sekadar kes kumulatif harian untuk memastikan langkah kesihatan awam lebih baik, menyeluruh dan disasarkan.

Katanya, wujud juga keperluan mendesak untuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi pengesanan kontak, selain mengenal pasti lokasi khusus yang mungkin bakal mempunyai kluster.

“Saya tahu kita meletakkan sasaran (berdasarkan kes harian), tetapi sebenarnya ia perlu lebih menyeluruh.

“Contohnya, buat masa ini kadar kepositifan ujian kita sekitar 6%, namun julatnya amat besar, daripada 13% di Labuan kurang 1% di Perlis. Jadi boleh dipertikaikan sama ada sesetengah lokasi perlu dikenakan sekatan pergerakan.”

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menggariskan empat fasa untuk dilalui negara dalam menangani wabak Covid-19.

Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan data yang bersandarkan “tiga indikator ambang utama” untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya, iaitu purata kes harian, keadaan sistem kesihatan negara serta bilangan penduduk yang divaksin sepenuhnya.

Dalam forum hari ini Adeeba berkata, strategi ujian berbeza boleh digunakan untuk industri berlainan, malah berpendapat tiada strategi khusus untuk kawasan berisiko tinggi seperti tapak pembinaan atau pembuatan.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga mesti mewujudkan polisi lebih jelas mengenai pelbagai ujian yang ada bagi mengatasi kekeliruan berhubung keberkesanan ujian Antigen RTK serta RT PCR.

Selain itu katanya, generasi baharu Antigen RTK serta kit ujian pantas lain semakin baik dari segi sensitiviti dan spesifisiti, malah juga mungkin lebih murah.

“Ia bukan saja lebih baik, malah pembelian besar-besaran mungkin membolehkan harganya serendah USD1 hingga USD2 bagi setiap ujian.

“Saya percaya ini juga akan membuatkan sektor industri lebih bersedia menjalani ujian jika kosnya semurah itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.