Aktivis didakwa perkecil badan kehakiman

Aktivis didakwa perkecil badan kehakiman

Jufazli Shi Ahmad didakwa menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar untuk memuat naik sebuh video selama 20 minit.

Jufazli Shi Ahmad bersama dua peguamnya, M Visvanathan (kiri) dan V Sanjay di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini.
SEPANG:
Seorang aktivis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memuat naik sebuah video yang memperkecilkan badan kehakiman.

Jufazli Shi Ahmad, 31, didakwa memuat naik sebuah video berdurasi 20 minit bertajuk “Hakim Kes 1MDB diugut oleh Najib Razak dalam Mahkamah Malaysia !?!?” di Cheras, Kuala Lumpur pada 22 Jan lalu.

Video itu dilihat keesokannya di sebuah lokasi di Cyberjaya.

Anak jati Sabah itu yang kini tinggal di Cheras didakwa menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Hakim Mahkamah Sesyen Noorhisham Mohd Jaafar membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu timbalan pendakwa raya, Aiza Ali Raman menggesa mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 kerana kes itu dilaporkan secara meluas dalam media.

Bagaimanapun peguam M Visvanathan berkata, ia bukan faktor untuk dipertimbangkan dalam penetapan ikat jamin dan mencadangkan RM3,000.

Visvanathan, yang turut dibantu V Sanjay berkata, tuduhan itu cacat kerana tidak menyatakan siapa pengadu dalam kes berkenaan.

Katanya, beliau akan membuat permohonan rasmi untuk kes itu dipindahkan ke Kuala Lumpur memandangkan dakwaan kesalahan itu berlaku di sana.

“Dia tidak patut didakwa di Sepang yang terletak di bawah Selangor,” katanya sambil menambah ia tidak selaras Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Kanun Prosedur Jenayah.

Noorhisham menetapkan sebutan semula kes pada 29 Julai ini.

Sementara itu, Jufazli dibebaskan selepas saudaranya, Mohammad Safie membayar jaminan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.