
Pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian di Taman Nusa Intan setelah menerima aduan pada 8.51 malam terpaksa memotong kunci mangga pintu rumah berkenaan selepas usaha memujuk lelaki terbabit gagal, menurut pegawai operasi Balai Bomba Senawang Zainurin Sarip.
“Pihak bomba mendapat laporan seorang lelaki bertindak mengunci pagar, grill dan pintu belakang rumahnya dari dalam susulan tertekan kerana tidak mempunyai pekerjaan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Kami pada mulanya cuba memujuk lelaki itu tetapi selepas lebih kurang 15 minit dan melihat dia tidak mahu beralah, kami mula mengumpil pintu pagar dan grill rumah berkenaan.
“Kami terpaksa memotong kunci mangga pintu rumah berkenaan disebabkan lelaki itu mendakwa tidak tahu di mana dia meletakkan kunci tersebut,” katanya menurut laporan Kosmo.
Wanita terbabit dan anak-anaknya, yang masing-masing berusia empat bulan dan lebih setahun, tidak mengalami sebarang kecederaan, namun difahamkan mereka tidak makan dari pagi.
“Lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis,” kata Zainurin.
Dimaklumkan bahawa wanita itu sebelum ini pernah mengadu kepada jirannya dan oleh sebab suaminya mengalami tekanan lebih teruk, abang kandung lelaki berkenaan terpaksa datang dari Mambau untuk memujuk.