Saguhati sukarelawan kesihatan bertugas lebih 12 jam kini RM100 sehari

Saguhati sukarelawan kesihatan bertugas lebih 12 jam kini RM100 sehari

Bayaran saguhati turut diperluaskan kepada sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan selain daripada PPV.

(Gambar Bernama)
MUAR:
Putrajaya bersetuju bayaran saguhati sukarelawan kesihatan ditingkatkan daripada RM50 kepada RM100 sehari bagi yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, bayaran saguhati ini turut diperluaskan kepada sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan selain daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC).

“Seramai 19,000 sukarelawan dijangka menerima saguhati ini dengan implikasi kewangan tambahan RM180 juta. Jadi RM147 (diumumkan sebelum ini) tambah lagi RM180 ini bermakna jumlah keseluruhan peruntukan untuk sukarelawan adalah RM327 juta,” kata beliau pada sidang media selepas melawat PPV Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Tangkak.

Muhyiddin berkata, walaupun disebut sebagai sukarelawan mereka tetap berkorban masa sehingga petang dan malam, malah bertugas lebih 12 jam sehari dan kenaikan kadar saguhati dianggap sebagai penghargaan buat kumpulan ini.

“Langkah ini juga membuktikan keseriusan kerajaan dalam meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara yang terus menerus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dari hari ke hari,” katanya.

Dalam perkembangan lain Muhyiddin berkata, sebarang perubahan sama ada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh fasa pertama disambung atau tidak mengikut faktor jangkitan bawah 4,000 kes akan diputuskan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

“Sementara ini kita kekal sebagaimana yang ada sekarang, kita akan lihat intervensi yang KKM (Kementerian Kesihatan) akan tentukan dan akan diputuskan,” tambah beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.