
Lima sekeluarga di Desa Mentari itu yang tergolong dalam kumpulan B40 bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Ia tidak mudah. Suami saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah swasta, tetapi sekarang semua sekolah ditutup, jadi beliau tidak dibayar gaji,” kata ibu beranak tiga itu kepada FMT.
Bagaimanapun, pemberian wang tunai daripada program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta bantuan makanan daripada NGO sedikit sebanyak membantu mereka mengharungi waktu sukar itu.
“Saya mendapat keseluruhan RM1,200 dalam pusingan terakhir (bantuan) dan ia membantu untuk membayar bil,” katanya sambil menambah, bil utiliti merangkumi sebahagian besar perbelanjaan bulanan kerana keluarganya kini duduk di rumah setiap hari.
Noraisah berkata, beliau bercadang memohon bantuan daripada program bantuan internet Jaringan Prihatin bagi memudahkan pembelajaran salah seorang anaknya di kolej dengan perkhidmatan internet lebih baik.
James Raj, penyelidik kemiskinan dan anggota Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai matlamat pembangunan lestari berkata, wanita di kawasan bandar yang memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga paling terkesan akibat wabak Covid-19.
Walaupun golongan itu memang berpotensi kehilangan pendapatan dan pekerjaan kerana kebanyakannya bekerja dengan perusahaan kecil dan sederhana Raj berkata, virus itu memburukkan lagi masalah mereka.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif kerajaan seperti bantuan tunai dan Geran Khas Prihatin membantu menangani beberapa kesan langsung daripada kelembapan ekonomi.
“Kita dapat melihat bantuan yang diperkenalkan kerajaan ini berjaya menampakkan kesan positif. Pemberian tunai secara langsung berdasarkan tahap pendapatan berbeza berjaya meringankan beban jangka pendek,” katanya.
Biarpun kerajaan melaksanakan usaha berterusan untuk membantu komuniti B40 Raj berkata, ia kekal menjadi cabaran dengan krisis kesihatan itu berterusan.
Dalam jangka panjang beliau berkata, negara perlu merombak sistem kebajikan sosial untuk memberikan perlindungan, insurans dan penjagaan kesihatan lebih baik buat golongan B40 dan orang kelainan upaya.
Katanya, program Jaringan Prihatin merupakan usaha baik dalam menyediakan jaringan dan kemudahan internet lebih baik kepada pelajar, tetapi pendidik juga perlu mencipta kandungan pembelajaran inovatif bagi memastikan penglibatan pelajar.
Program berkenaan, yang menyasarkan keluarga B40 mendapat akses kepada perkhidmatan data internet atau peranti bimbit, membabitkan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menawarkan internet percuma bernilai RM1.5 bilion.
Tambahan RM2.1 bilion untuk bantuan kewangan juga diperuntukkan baru-baru ini melalui skim BPR dalam pakej rangsangan ekonomi terbaru, PEMERKASA Tambahan.
Pada masa sama kerajaan memutuskan untuk menyediakan Geran Khas Prihatin RM1,000 kepada lebih sejuta peniaga mikro bagi mengekalkan perniagaan mereka.