
Ketua Wanita Pejuang, Che Asmah Ibrahim dalam kenyataan berkata, pelbagai masalah berkaitan pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepatutnya boleh dielakkan jika kerajaan cekap dan mengambil tindakan lebih proaktif.
“Kita memperkatakan norma baharu dalam pendidikan namun pelaksanaannya masih dengan prinsip pendidikan yang lama dengan hanya menggunakan teknologi semasa.
“Sistem pendidikan negara memerlukan transformasi menyeluruh dalam menghadapi perubahan norma baharu dengan pendekatan baharu dan melihat pendidikan dari sudut pandang pembangunan insan dalam membina generasi yang mempunyai daya tahan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran global.”
Katanya, penularan wabak Covid-19 sepatutnya memberi peluang kepada negara melakukan “reset” menyeluruh kepada sistem pendidikan dengan melantik mereka yang berintegriti dan kompeten menerajui bidang itu.
“Pengalaman usahawan pendidikan swasta juga perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam merangka pembangunan sistem pendidikan yang baik untuk generasi masa depan.
“Sistem pendidikan negara membangun lain seperti negara Scandinavian perlu diambil sebagai rujukan agar Malaysia tidak terus ketinggalan.
“Selain guru, ibu bapa juga perlu didedahkan dengan ilmu keibubapaan yang bersesuaian keperluan untuk mendidik anak-anak mereka hidup pada zaman akan datang.”