
Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata bagi menyokong permohonan itu, KPM juga memohon kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) supaya pemberian vaksin kepada guru dan murid kategori itu dapat dipercepatkan.
“Namun ini semua tertakluk kepada keputusan MKN bila anak-anak kelas peperiksaan ini dapat kembali ke sekolah secara bersemuka. Urusan vaksinasi pula di bawah JKJAV, maka segala proses itu akan dilaksanakan oleh mereka.
“Dalam konteks pendidikan, kita akan bincang bagaimana kita boleh laksanakan (vaksinasi) di sekolah atau sebagainya dan ini memerlukan penelitian yang lebih mendalam,” katanya dalam Wawancara Pelan Pemulihan Negara secara dalam talian, hari ini.
Menurut beliau, setakat ini 36% atau 148,580 guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Ditanya jika guru-guru dan pelajar selain kelas peperiksaan juga akan diberikan keutamaan dalam pemberian vaksin, Radzi berkata KPM membuat cadangan kepada JKJAV berdasarkan keutamaan atas faktor bekalan vaksin yang terhad.
“Kalau boleh kita mahu semuanya divaksin namun dilihat dari sudut priority (keutamaan) disebabkan bekalan yang terhad dan sebab itu kita mohon supaya murid dan guru Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) didahulukan,” katanya.
Berdasarkan Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, sektor pendidikan akan dibenarkan beroperasi secara berperingkat bermula fasa ketiga apabila negara berjaya memenuhi tiga nilai ambang yang dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos.
Nilai ambang tersebut adalah purata kes harian menurun ke paras bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada pada tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) ke paras mencukupi dan 40% populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.