Tak patuh SOP, 150 tapak pembinaan diarah tutup sejak 1 Jun

Tak patuh SOP, 150 tapak pembinaan diarah tutup sejak 1 Jun

Kegagalan mematuhi SOP dipandang serius kerana akan menjejaskan objektif PKP penuh ini untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Sebanyak 11 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup bagaimanapun sudah dibenarkan beroperasi semula.
PETALING JAYA:
Sebanyak 150 tapak pembinaan di seluruh negara diarah tutup sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lepas kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan berkata sejak PKP 3.0 dilaksanakan, 2,423 tapak pembinaan telah diperiksa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), dengan 446 (18%) didapati beroperasi, manakala 1,977 (82%) tidak beroperasi.

Menurutnya daripada 446 tapak pembinaan yang beroperasi, 150 (34%) didapati tidak mematuhi SOP.

“Kementerian amat memandang serius peratusan ketidakpatuhan SOP yang tinggi di tapak pembinaan kerana ia amat membimbangkan dan akan menjejaskan objektif PKP penuh ini untuk mengekang penularan wabak Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu lagi, daripada 150 tapak pembinaan yang ditutup 45 terletak di Sarawak, Selangor (24), Melaka (16), Pulau Pinang (10), Terengganu (10), Sabah (sembilan), Johor (tujuh), masing-masing enam di Kuala Lumpur dan Pahang, Perak (lima), selain masing-masing empat di Kedah dan Negeri Sembilan, tiga di Perlis dan satu di Kelantan.

Bagaimanapun 11 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup telah pun dibenarkan beroperasi semula selepas mematuhi SOP ditetapkan.

Kata kenyataan itu, selain mengarahkan tapak pembinaan ditutup dengan serta-merta, CIDB juga boleh mengenakan penalti tidak melebihi RM500,000 atau menggantung dan membatalkan Perakuan Pendaftaran Kontraktor.

Semua penggiat industri pembinaan juga diwajibkan mematuhi arahan semasa dan SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan matlamat PKP 3.0 dapat dicapai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.