Sudah lima tahun sejak bekas ketua menteri Sarawak, Adenan Satem menerajui gabungan pemerintah meraih kemenangan besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.
Susulan kematian Adenan pada 2017, terdapat perubahan kepimpinan dan “penjenamaan semula” gabungan pemerintah itu. Pesaing baharu kuasa muncul dalam bentuk Parti Sarawak Bersatu (PSB), sebuah parti tempatan yang diketuai pemimpin berpengaruh seperti bekas menteri di negeri itu, Wong Soon Koh dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian.
“Kita tidak boleh mengambil mudah sebarang perkara. Apa yang berlaku di Semenanjung boleh berlaku di sini,” kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), teras dalam GPS.
Pilihan raya negeri dijadualkan berlangsung di Sarawak tahun ini, tetapi ia dilihat mustahil ketika ini disebabkan darurat dan situasi Covid-19 dengan komuniti rumah panjang khasnya terjejas teruk.
Pun begitu Wan Junaidi berkata, GPS yakin rakyat Sarawak akan menghargai pelbagai projek pembangunan yang sudah dilaksanakan walaupun berlaku lonjakan Covid-19 di negeri itu.
“Dari segi pengurusan Covid-19, kami melakukan semua yang kami mampu. Anda perlu melihat pencapaian kerajaan ini sekarang.
“Saya tidak mahu memandang rendah semua ketua menteri lain sebelum ini, tetapi Abang Johari Openg memberikan kepemimpinan paling strategik dan berhasil yang saya lihat dalam 40 tahun politik saya di Sarawak.
“Sebelum ini, kami melihat agenda hanya dilaksanakan sekali-sekala atau dalam bentuk serpihan, bukan secara sistematik. Tetapi, Abang Johari mengubahnya.”
Katanya, pencapaian utama kerajaan negeri termasuk membuatkan Petronas membayar lebih RM2 bilion cukai jualan untuk produk minyak yang digali dari pesisir negeri itu.
Dalam penyelesaian antara Petronas dan Sarawak, syarikat minyak negara itu bersetuju membayar RM2.95 bilion selepas pertikaian undang-undang yang lama.
Dianggarkan negeri itu kini boleh mengutip RM3 bilion SST daripada minyaknya setiap tahun, wang yang dikatakan akan digunakan untuk membiayai projek pembangunan bagi lima tahun akan datang.
Wan Junaidi berkata, ini dapat dilihat sebagai percubaan Sarawak untuk mengurangkan kebergantungan tradisional pada dana dari Putrajaya.
Katanya, kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya RM140 bilion bagi membangunkan Sarawak sepenuhnya dan ini bukan jumlah yang mustahil untuk mereka kumpulkan.
Beliau berkata, GPS menggunakan sebahagian daripada hasil pembayaran SST untuk membiayai Lebuhraya Pesisir Utara sejauh 86km yang dahulunya dikenali sebagai projek fasa kedua Lebuhraya Pan Borneo.
Projek itu membabitkan pembinaan tujuh jambatan merentasi laluan sungai utama dan dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Ia akan memudahkan semua komuniti di kawasan pesisir – masyarakat Melayu, Iban dan Melanau dari Miri ke Kuching,” katanya sambil menambah projek itu akan menjadi penghubung penting ke daerah utara Lawas dan Limbang yang berpotensi menjadi “lombong emas” minyak dan gas.
Kerajaan negeri sudah memulakan projek grid air yang menurut Wan Junaidi, akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun akan datang. Ia bertujuan menyediakan bekalan air tanpa gangguan ke kawasan luar bandar di Sarawak.
Mengenai hubungan gabungan itu dengan kerajaan persekutuan katanya, GPS akan terus menyokong Putrajaya tanpa menjadi sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Tetapi agenda pertama kami ialah untuk Sarawak,” katanya sambil menambah demi kepentingan terbaik Sarawak, negeri itu dan kerajaan persekutuan bekerjasama rapat.