Adakah Parlimen digantung selamanya, soal Kit Siang

Adakah Parlimen digantung selamanya, soal Kit Siang

Veteran DAP itu turut mempersoalkan keikhlasan kerajaan mahu Parlimen bersidang semula berdasarkan tiga syarat di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Lim Kit Siang menggesa Muhyiddin Yassin memberi komitmen untuk memanggil sidang Dewan Rakyat sebelum 1 Ogos ini.
PETALING JAYA:
Veteran DAP, Lim Kit Siang menyuarakan kebimbangan berhubung kemungkinan wujud senario Parlimen digantung selama-selamanya berdasarkan syarat ditetapkan Putrajaya di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Beliau turut mempersoalkan keikhlasan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang mahu Parlimen bersidang semula berdasarkan tiga syarat di bawah strategi keluar daripada wabak Covid-19.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Parlimen hanya boleh dibuka dalam Fasa III Pelan Pemulihan Negara jika purata kes harian turun ke bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam pada tahap selesa dengan kadar penggunaan katil ICU di paras mencukupi dan 40% penduduk lengkap dua dos vaksin.

“Bagaimana sekiranya salah satu daripada keadaan ini tidak dicapai? Adakah Parlimen akan digantung selamanya?” soal Lim dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, janji perdana menteri untuk membabitkan pembangkang dalam kajian pembukaan semula Parlimen juga tidak bermakna jika ia hanya akan diadakan pada September atau Oktober.

Ini kerana katanya, tiada apa untuk Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang “nilai” mengenai pembukaan semula Parlimen memandangkan Parlimen perlu bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.

Lim berkata, Muhyiddin perlu memberi komitmen untuk Parlimen bersidang sebelum 1 Ogos bagi menunjukkan bahawa pihak eksekutif “tidak cuba mensabotaj harapan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja” dalam memerangi Covid-19.

Katanya, Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim menyatakan Ordinan Darurat 2021 memberi kuasa kepada Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

Beliau berkata, “amat malang” jika Yang Dipertua Dewan Negara kelihatan lebih berani dan memahami hak serta keistimewaan Parlimen berbanding Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Saya seru Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya mewakili kepentingan Ahli Parlimen, bukannya menjadi wakil pihak eksekutif di Parlimen,” katanya merujuk kepada Azhar Azizan Harun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.