Pemeriksaan haid: Jawatankuasa bebas KPM akan teliti tatacara tangani aduan

Pemeriksaan haid: Jawatankuasa bebas KPM akan teliti tatacara tangani aduan

Jawatankuasa bebas berkenaan kini dalam peringkat akhir penubuhannya, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Terdahulu, pelajar di beberapa buah sekolah yang tidak dinamakan dilaporkan mendakwa amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang bulan berlaku sejak 20 tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas khusus bagi meneliti tatacara menangani aduan berkaitan amalan “pemeriksaan datang bulan” terhadap pelajar perempuan oleh sekolah.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, jawatankuasa bebas yang kini dalam peringkat akhir penubuhannya akan mengesyorkan aspek penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap mekanisme sedia ada.

“Akan ada satu tatacara proses lebih menyeluruh dalam konteks ini bagi membolehkan sekiranya timbul isu berkaitan pada masa akan datang, supaya perkara itu dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan teratur,” katanya, menurut laporan Bernama.

Media sebelum ini melaporkan pelajar di beberapa buah sekolah yang tidak dinamakan mendakwa amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang bulan berlaku sejak 20 tahun lalu.

Sebagai respons, Radzi meminta agar orang ramai tampil memberitahu beliau nama sekolah yang mengamalkan pemeriksaan fizikal terhadap pelajar bagi membuktikan mereka datang haid.

KPM akan mengambil tindakan susulan sekiranya ada maklumat lengkap, seperti kes-kes lain di sekolah yang tular, kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.