
Ini boleh dicapai dengan menyasarkan satu masjid untuk dijadikan PPV di setiap daerah, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim.
“Katakan setiap satu masjid di seluruh lapan daerah di Terengganu boleh suntik 500 orang setiap minggu, jadi dalam sebulan sebanyak 16,000 suntikan boleh dicapai,” katanya, menurut laporan Bernama.
Beliau berkata, PPV masjid akan diperluas ke seluruh negara, terutamanya di kawasan pedalaman yang mempunyai ramai penduduk Melayu.
Selain itu, tambahnya, prosedur operasi standard (SOP) lebih jelas akan diwujudkan bagi melancarkan program “outreach” vaksinasi di masjid.
“Ini antara lain kerana kita tidak mahu ada misalnya tohmahan yang mendakwa hendak pergi solat di masjid tidak boleh, tetapi berkumpul (di masjid) untuk suntikan vaksin boleh pula,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan Program “Outreach” PPV di Masjid At-Taqwa Durian Burung, di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus dan Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Dr Zuraizi Jaafar.
Dalam pada itu, Amzad berkata, program “outreach” di PPV masjid dapat memberi keyakinan dan kefahaman lebih mendalam mengenai kepentingan vaksin dalam kalangan komuniti Islam.
“Seperti kita tahu masjid sangat dekat di hati orang Islam dan sebelum ini kita berhadapan dengan masalah berhubung dakyah negatif terhadap vaksin ini, antara lain dikatakan sebagai agenda musuh Islam dan sebagainya,” katanya.
Menurut Amzad, PPV di Masjid At-Taqwa Durian Burung adalah yang pertama sepertinya di Terengganu dan di negara ini dan dikendalikan sepenuhnya oleh badan bukan kerajaan (NGO), iaitu Papisma dengan dibantu oleh JKNT.
PPV Masjid At-Taqwa Durian Burung berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh 60 sukarelawan yang terdiri daripada 30 doktor, termasuk 10 doktor pakar.
Semalam, seramai 120 penduduk setempat telah menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac di PPV berkenaan.