Rumah pusaka terbakar, lelaki gagal kawal emosi serang anggota bomba

Rumah pusaka terbakar, lelaki gagal kawal emosi serang anggota bomba

Kejadian pada 3.18 petang semalam di Kampung Belipat, Lawas, dirakam dalam satu video berdurasi 56 saat yang tular di media sosial.

Tangkap layar video berdurasi 56 saat yang tular di media sosial sejak semalam memaparkan seorang lelaki menyerang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas yang sedang menjalankan tugas.
PETALING JAYA:
Melihat rumah pusaka musnah terbakar, seorang lelaki di Lawas, Sarawak, gagal mengawal emosinya dan bertindak menyerang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kejadian pada 3.18 petang semalam di Kampung Belipat dirakam dalam satu video berdurasi 56 saat yang tular di media sosial.

Dalam video itu, pada mulanya, seorang lelaki dilihat mengamuk dan menghempas barang sambil memarahi anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas yang sedang menjalankan tugas.

Ketika dia sedang ditenangkan oleh individu lain di lokasi, seorang lagi lelaki secara tiba-tiba menyerang anggota bomba dari belakang sehingga anggota terbabit jatuh.

Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman, berkata ini kejadian pertama melibatkan serangan terhadap anggota bomba yang sedang menjalankan tugas di negeri itu.

“Anggota bomba terbabit juga bertindak balas melalui saluran yang betul iaitu dengan membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 9.14 malam tadi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi, atas budi bicara, anggota bomba terbabit menarik balik laporan polis yang dibuat selepas menerima permohonan maaf daripada pelaku yang menyesal dan menyedari kesalahan yang dilakukannya.”

Menurut Khirudin, mengikut Seksyen 51 Akta Perkhidmatan Bomba 1988, menjadi satu kesalahan bagi mereka yang sengaja mencaci, menyerang, mengacau, menghalang atau mengganggu anggota bomba atau mana-mana orang lain yang membantu JBPM bawah arahan tertentu pegawai bomba.

Jika disabitkan kesalahan, katanya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Aidi Ismail, berkata lelaki yang menyerang anggota bomba terbabit ditahan reman empat hari mulai hari ini.

Katanya, polis meneruskan siasatan walaupun mangsa menarik balik laporan dibuat terhadap suspek berusia 30 tahun itu malam tadi.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 332 kanun sama kerana mencederakan penjawat awam.

“Kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.