
Pengerusi PEMIKIR, Muhammad Farid Saad, berkata projek itu perlu dibatalkan kerana ia akan memberi kesan serius dan negatif kepada sosio ekonomi serta alam sekitar.
“Meskipun Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) telah dicadangkan sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.
“Namun, sebahagian besar daripada komponen dalam PTMP adalah berasaskan pembinaan tiga lebuh raya baharu, dan kurang perhatian diberikan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam sedia ada,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lebuh raya baharu itu akan menggalakkan lebih banyak lagi penggunaan kenderaan persendirian pada masa depan, selain PTMP juga akan melibatkan pembinaan satu terowong dasar laut dan satu laluan transit aliran ringan (LRT) yang dibina melalui kawasan perumahan serta perbandaran yang pesat.
“Ketika PTMP mula diumumkan pada tahun 2015 oleh kerajaan negeri, projek ini bernilai RM27 bilion, namun sekarang projek PTMP dianggarkan bernilai RM46 bilion iaitu hampir dua kali ganda.
“Kos penambakan PSR pula dianggarkan RM11 bilion dan akan mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan, malah pakar infrastruktur dari Kanada telah memberi amaran bahawa PTMP adalah terlalu berisiko untuk pelabur kerana ia disatukan dengan projek PSR,” katanya.
Farid berkata, langkah keseimbangan dicadangkan oleh pemaju sebagai penggantian untuk habitat semula jadi yang bakal dimusnahkan oleh penambakan adalah tidak memadai, dan tidak mempunyai keupayaan untuk menggantikan fungsi habitat semula jadi.
“Tempat pendaratan penyu akan hilang sepenuhnya, manakala terumbu karang Pulau Rimau pula akan hilang separuh selain akan menyebabkan kawasan pantai berlumpur dan kawasan perikanan pula juga akan hilang separuh,” katanya.
Katanya, tidak syak lagi projek PSR akan memberi banyak implikasi negatif yang berkekalan bukan sahaja kepada kekayaan biodiversiti yang ada di kawasan itu, malah sumber bekalan ikan dan juga mata pencarian nelayan pantai di Pulau Pinang, utara Perak dan selatan Kedah akan turut terjejas.