Pengambilan khas pendidik besar-besaran atasi isu kekurangan guru, kata Radzi

Pengambilan khas pendidik besar-besaran atasi isu kekurangan guru, kata Radzi

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata permohonan pengambilan khas itu, akan dibuka mulai 7 Julai ini.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata cabaran utama pengambilan guru adalah kerana kurang calon guru IPG dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan pengambilan khas secara ‘one-off’ seramai 18,702 pendidik, bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Beliau berkata, permohonan pengambilan khas pegawai perkhidmatan pendidikan DG41 itu, akan dibuka mulai 7 Julai untuk membolehkan pendidik ditempatkan secara berperingkat di sekolah masing-masing bermula Oktober depan.

“Pengambilan guru secara ‘one-off’ dan besar-besaran ini bertujuan menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, selain menjamin pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar ketika pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media secara maya, mengenai pengambilan khas itu.

Menurutnya, negeri yang terutamanya berdepan dengan kekurangan guru adalah Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

“KPM perlukan sejumlah guru untuk mata pelajaran tertentu, tapi bekalan (guru) yang ada untuk subjek tersebut amat terhad. Sebaliknya, bekalan untuk mata pelajaran yang mana opsyennya telah penuh, mungkin lebih ramai.

“Dan disebabkan ketidakpadanan ini, jadi wujud keadaan sukar bagi KPM mengambil guru baharu untuk memenuhi kekosongan yang ada,” katanya.

Antara subjek dengan kekurangan guru yang tinggi di sekolah rendah ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, manakala di sekolah menengah ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

Radzi berkata kerjasama KPM, JPA dan SPP, antaranya mewujudkan kluster opsyen mata pelajaran untuk menyusun kelayakan dan kelulusan bakal guru, bagi memastikan sumber bekalan lebih luas dan membolehkan pemilihan calon guru yang berkelayakan, untuk opsyen yang diperlukan.

“Kepelbagaian kaedah lantikan juga akan diaplikasikan iaitu pelantikan dibuat berdasarkan pendekatan holistik mengikut keperluan semasa, bagi atasi masalah kekurangan guru yang berlarutan sejak lama,” katanya.

Radzi berkata, kerjasama itu juga akan meliputi urusan panel penemuduga, logistik dan keurusetiaan.

Ditanya jika pengambilan khas itu mengutamakan calon yang mempunyai latar belakang ikhtisas pendidikan sahaja, Radzi berkata calon yang mempunyai kelulusan lain juga akan dipertimbangkan menggunakan pendekatan holistik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.